IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyeru graduan Politeknik Ungku Omar (PUO) menjadi insan yang membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.
Saarani dalam ucapan beliau pada Istiadat Konvokesyen PUO Kali Ke-52, Sidang Pertama, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal turut menasihati pada graduan agar tidak lupa menabur jasa bakti kepada masyarakat.
“Kepada para graduan, ingatlah bahawa saudara dan saudari kini menjadi duta PUO di luar sana dan jadilah contoh yang baik, tunjukkan etika kerja, wibawa yang tinggi, serta sentiasa berusaha memberi yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Dalam mengejar kejayaan, jangan lupa untuk memberi kembali kepada masyarakat. Gunakan ilmu dan kemahiran yang ada untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Ini bukan sahaja akan memberi kepuasan peribadi, tetapi juga akan membantu membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera,” katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, PUO, di sini, pada Isnin.
Saarani turut mengingatkan graduan PUO agar menghargai jasa dan pengorbanan individu yang membantu mereka sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Ujar beliau, kejayaan yang diperoleh para graduan tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan pengorbanan mereka yang berada di belakang tabir terdiri daripada ibu bapa, penjaga, para pensyarah, dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan.
“Jangan pernah lupa untuk menghargai jasa mereka dan ingatlah betapa berharga kerja keras dan restu mereka dengan menghargai serta mencuba sedaya upaya untuk membahagiakan mereka.
“Kepada ibu bapa dan penjaga yang hadir, tahniah saya ucapkan kerana pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan telah membuahkan kejayaan yang membanggakan,” katanya.
Sementara itu, seramai 1,748 graduan dari 20 bidang yang telah menamatkan pengajian pada Sesi-2 2022/2023 diraikan pada Istiadat Konvokesyen PUO ke-52 yang berlangsung dari 26 hingga 30 Ogos 2024.
Pada tahun ini, Diploma Anumerta dianugerahkan kepada waris Gemulah Ahmad Hirfan Shahrir yang merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang meninggal dunia pada 4 April 2024 akibat penyakit kanser synovial sarcoma (ketumbuhan di dalam paru-paru).
Graduan Diploma Kejuruteraan Muhammad Amir Md Jazi pula dipilih sebagai penerima Anugerah Ungku Omar. -MG Perak