Oleh Wartawan Suara.TV : Zihan Zari
KAJANG – Masyarakat disarankan agar menjadikan Kolej Komuniti sebagai institusi Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) boleh membantu meningkatkan sosio-ekonomi melalui kursus yang ditawarkan dengan bayaran murah dan munasabah.
Kolej Komuniti yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berkelayakan dan berkemahiran, menawarkan program sepenuh masa peringkat sijil dalam bidang TVET.
Selain itu kursus yang bersesuaian dalam ‘Pembelajaran Sepanjang Hayat’ (PSH) bagi segenap lapisan masyarakat mengikut keperluan dan minat masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Dato’ Wira Johan Abd Aziz berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Karnival Variasi PSH Zon Selangor & Wilayah Persekutuan 2024 di Stadium Kajang dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu; Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri & Komuniti JPPKK, Dr. Riam A/P Chai Mau, dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 12, Ir. Rusman Saman.
Johan yang juga mantan penasihat Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) berkata, kini terdapat sebanyak 105 buah kolej komuniti di seluruh negara dengan 11 darinya terletak di Selangor termasuk cawangan.
Menurutnya, setiap Kolej Komuniti mempunyai kepakaran (niche area) dalam bidang TVET masing-masing, sepertimana KKHL mempunyai kepakaran dalam bidang penyejukan dan penyaman udara bagi peringkat sijil telah mendapat pengiktirafan ‘Industry on Campus’ dari JPPKK.
Menurutnya lagi, peserta PSH telah diberikan pendedahan dan pengetahuan serta kemahiran khusus dalam bidang-bidang yang telah dikenal pasti bersesuaian dengan situasi dan lokasi di Kolej Komuniti.
“Penglibatan MPKj serta agensi awam dan swasta berkolaborasi dalam penganjuran kursus dengan institusi pendidikan TVET dapat meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti dan kursus yang berskala tinggi dan mampu melonjak peningkatan taraf hidup masyarakat.
“Ianya bersesuaian dengan matlamat pembangunan mampan atau sustainable development goals (SDGs) yang telah dijenamakan semula di Selangor sebagai ‘Smart Selangor Mampan’ (SSM) 2035.
“SSM mempunyai 17 matlamat merentasi pelbagai fokus antaranya kemiskinan, perbandaran, kesihatan, kemampanan bandar, komuniti dan pendidikan, ”katanya.
“Seiring dengan objektif PSH, untuk pengukuhan aktiviti sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat, masyarakat wajar memanfaatkan peluang yang ada ini untuk kemajuan diri, keluarga dan komuniti.
“PSH menawarkan bidang yang bersesuaian dan memberi peluang kepada komuniti untuk membuat pilihan, tanpa menafikan bidang yang menjadi tumpuan seperti keusahawanan teknologi maklumat, masakan dan sajian dan lain-lain, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah KKHL, Roszita Shamsuddin berkata, karnival ini salah satu program bagi melaksanakan agenda negara melalui KPT iaitu ‘PSH Komuniti Madani ’ dan mewujudkan pembudayaan PSH selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
Selain itu, memperkenalkan PSH secara meluas kepada kumpulan sasaran sama ada kanak-kanak, orang dewasa yang bekerja, warga emas, lepasan sekolah, suri rumah, orang kurang upaya, pelajar tahfiz dan mereka yang ingin meningkatkan taraf hidup.
Beliau berkata, karnival ini turut menjadi medium mempromosikan pendidikan TVET Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) sebagai institusi pilihan pelajar menyambung pengajian di peringkat diploma dan sijil bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sehingga 30 September lalu, peserta PSH bagi Kolej Komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah seramai 26,099 dengan bilangan kursus sebanyak 1,407 telah dilaksanakan dan dijangka meningkat pada penghujung tahun ini.
“Dua buah Kolej Komuniti di Selangor antara 10 Kolej Komuniti Malaysia tertinggi yang mencatatkan pencapaian peserta PSH melebihi 5,000 iaitu, KKHL seramai 5,252 orang dan Kolej Komuniti Kuala Langat seramai 5,193,”katanya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Maklumat dan Koporat KKHL memaklumkan, JPPKK telah memilih Kajang sebagai lokasi karnival ini turut dibantu oleh
rakan kolaborasi strategiknya, MPKj.
Antara agensi yang terlibat semasa karnival ini berlangsung adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Raya Bhd (AmanahRaya), CelcomDigi, Poliklinik An-Nur dan Unifi.
“Pelbagai aktiviti menarik antaranya, Pound Fitness sempena Hari Sukan Negara, Pameran Kerjaya (Career Fair), Games Corner, cabutan bertuah, jualan keusahawanan, Hari Bertemu Pelanggan, tawaran kemasukan PolyCC,”tambahnya.
“Kursus berimpak tinggi ditawarkan seperti Asas Ukiran Buah, Fun Learning Mandarin, Conquering Online Marketing Using ChatGPT, Asas Solekan, Mencating Batik, kursus Asas Pembuatan Silky Milk, Asas Solekan, Pembuatan Roti Arab, Kluster Katering & Sajian, Kecantikan & Dandanan, Seni Kreatif, dan Perniagaan & Keusahawanan.
“Pembudayaan melalui PSH dapat memberikan pengetahuan baharu dan inovasi malah memberi manfaat kepada individu dan masyarakat yang relevan dengan cabaran semasa, ”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV