Oleh: Zihan Zari
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Majlis Pimpinan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) PUO telah menganjurkan program Tausiah Kemerdekaan di Ruang Legar, Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, PUO pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam PUO, Sharifah Anita Wafa memaklumkan, program ini telah disampaikan oleh anggota Majlis Hukama’ Al-Muslimin, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Norman Zamri bersama-sama ketua-ketua jabatan akademik, kakitangan, pelajar dan majlis kepimpinan pengurusan asrama institusi itu.
Dr. Zulkifli dalam tausiahnya berkata, kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam ‘Perjanjian Hudaibiyah’ serta kepentingan membina ukhuwah antara kaum Muhajirin dan Ansar, sebagai teladan dalam menjaga hubungan sesama manusia.
Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan sifat menepati masa dan kebersihan, seperti yang diamalkan oleh masyarakat Jepun, yang menjadi faktor kemajuan negara mereka.
“Tiada istilah rehat atau mencuri masa dalam bekerja dan masyarakat diajak untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian.
“Jangan mudah berputus asa, serta tidak terpengaruh dengan budaya negatif dan disarankan agar setiap kali mendapat ilmu baru, ia seharusnya dicatat dan dijadikan sebagai panduan hidup.
“Gunakan masa dengan bijak, bertanya kepada tempat yang betul jika tidak memahami sesuatu serta tidak takut untuk bertanya,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam diingatkan agar menggunakan setiap peluang dengan sebaik mungkin, membina jati diri dari dalam diri sendiri, dan menjadi individu yang bermanfaat kepada orang lain.
“Kejayaan datangnya daripada pengurusan masa yang baik, manakala kelemahan sering berpunca daripada sikap bertangguh.
“Marilah kita semua mencontohi peribadi junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam menguruskan masa dengan bijak, serta menginsafi kesilapan lalu untuk menjadi yang terbaik pada masa akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, penyelaras program, Ustaz Mohd Rosdi Ripin berkata, program ini dilaksanakan bagi meningkatkan rasa cinta kepada negara dalam jiwa sanubari dalam kalangan pelajar PUO.
“Program ini memberi memahami erti kemerdekaan yang sebenar melalui perspektif sejarah dan ketuhanan serta menyemarakkan budaya ilmu dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Majlis Hukama’ Al-Muslimin adalah sebuah institusi antarabangsa yang menghimpunkan para ulama, sarjana dan cendekiawan dikenali dengan pendekatan berhikmah, cakna keadilan, kebebasan dan kesederhanaan (wasatiyyah). – SUARA.TV