IPOH, 2 Ogos – Politeknik Ungku Omar (PUO) mencatatkan jumlah pendaftaran pelajar Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) tertinggi di antara semua politeknik dan kolej komuniti dengan merekodkan seramai 1,765 pelajar baharu bagi Sesi 1 Tahun 2024/2025.
Pengarahnya, Dr Shamsuri Abdullah berkata, pendaftaran pelajar baharu itu melebihi sasaran yang telah ditetapkan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 1,629 daripadanya adalah pelajar daripada 17 program diploma, 123 pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan dan 13 orang pelajar Program Sijil Kemahiran Pembinaan yang dikhususkan untuk pelajar kelainan upaya (OKU).
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh PUO tetapi juga komitmen institusi ini dalam menyokong agenda pendidikan negara dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Peningkatan jumlah ini juga dibantu oleh usaha mempromosi keterlihatan institusi secara berterusan melalui pelbagai platform sama ada secara bersemuka, media konvensional atau secara digital,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Shamsuri turut menyatakan bahawa pencapaian ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap persekitaran pembelajaran kondusif dan kualiti Pendidikan serta program TVET yang ditawarkan PUO.
Beliau turut menekankan kepentingan integrasi dan semangat kerjasama di kalangan pelajar baharu dalam memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam suasana pembelajaran baharu di PUO.
“Pelajar disaran memanfaatkan ruang dan peluang pembelajaran di PUO bagi meneroka potensi dan kebolehan diri serta mempertingkat kemajuan kendiri agar dapat menyumbang semula kepadam asyarakat dan negara kelak.
“Justeru, kita mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu dan berharap peluang yang diberikan digunakan sebaiknya bukan sahaja untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam aspek akademik bahkan membentuk sahsiah diri terpuji melalui pengalaman pembelajaran di sini,” ujarnya. – MG Perak