Liputan Berita : Tausiah Kemerdekaan: Ilmu, Ukhuwah dan Pengurusan Masa Kunci Kejayaan

POLITEKNIK UNGKU OMAR
19 August 2024
Lain-Lain

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/PUO

IPOH, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Majlis Pimpinan Rakan Siswa YADIM PUO menganjurkan Program Tausiah Kemerdekaan yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Anggota Majlis Hukama’ Al-Muslimin di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, PUO, di sini kelmarin.

Dr. Zulkifli turut menekankan konsep penggunaan masa dengan bijak, bertanya kepada tempat yang betul jika tidak memahami sesuatu serta tidak takut untuk bertanya.

Dalam tausiahnya, Dr. Zulkifli menekankan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah serta kepentingan membina ukhuwah antara kaum Muhajirin dan Ansar sebagai teladan dalam menjaga hubungan sesama manusia.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan sifat menepati masa dan kebersihan, seperti yang diamalkan oleh masyarakat Jepun, yang menjadi faktor kemajuan negara mereka.

“Tiada istilah rehat atau mencuri masa dalam bekerja. Masyarakat mestilah membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian dan tidak mudah berputus asa serta tidak terpengaruh dengan budaya negatif,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar setiap kali mendapat ilmu baru, ia seharusnya dicatat dan dijadikan panduan hidup.

Khalayak terdiri daripada pelajar semester satu serta majlis kepimpinan pengurusan asrama.

“Contohilah junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam menguruskan masa dengan bijak, serta menginsafi kesilapan lalu untuk menjadi yang terbaik pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, penyelaras program, Ustaz Mohd Rosdi Ripin, berkata program ini dilaksanakan untuk meningkatkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan pelajar selain memahami erti kemerdekaan yang sebenar melalui perspektif sejarah dan ketuhanan serta menyemarakkan budaya ilmu dalam kehidupan seharian.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Akademik) PUO Norman Zamri.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti