MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL MYFUTUREJOBS @ POLYCC 2024

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
11 September 2024
BERITA, Komuniti

Kuantan, 11 September 2024 – Karnival MyFutureJobs @ POLYCC 2024 anjuran bersama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang menyediakan 18 majikan yang menawarkan 608 kekosongan bagi 108 pelbagai jawatan kepada pencari kerja di negeri Pahang khususnya sekitar Kuantan.

Antara majikan yang terlibat adalah Alliance Steel (M) Sdn.Bhd., HSC Logistics Sdn.Bhd., Sky Freeze Conditioning & Electrical Engineering, Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn.Bhd., Wasco Coatings Malaysia Sdn.Bhd., Malaysia Rail Link Sdn.Bhd., Dreamyzalina Enterprise, Mega Laziz Food Industry Sdn.Bhd., Hijraa Kuantan Sdn.Bhd., Zahari Architect, RHB Asset Management Sdn.Bhd., The Zenith Hotel Sdn.Bhd., Camel Power (M) Sdn.Bhd., Foresight Dialysis Sdn.Bhd., Matsutech Resources, Rakannusa Engineering & Services Sdn.Bhd., AFCC Sdn.Bhd. dan Akie Group Sdn.Bhd.

Majlis perasmian penutup yang berlangsung di Dewan Sri Mahkota, POLISAS hari ini disempurnakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah. Hadir sama adalah Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim dan Pengarah PERKESO Negeri Pahang, Hisham Abdul Rahman.

Mohd Shahar dalam ucapannya berkata kerjasama antara sektor kerajaan, swasta, pemain industri dan institusi pendidikan adalah kunci untuk mencapai matlamat dalam mengembangkan sumber manusia yang berkualiti khususnya di negeri Pahang.

“ Institusi pendidikan tinggi awam mahupun swasta perlu memastikan usaha menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan dilaksanakan sebaiknya agar mereka dapat memasuki pasaran kerja tempatan dan juga berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa ”, katanya.

Penganjuran program ini merupakan gerbang karnival kerjaya dan respon bagi membantu graduan, bakal graduan POLISAS khususnya serta belia setempat mendapat pekerjaan dengan menyediakan medium yang signifikan seperti industri dari pelbagai bidang untuk mengadakan temuduga terbuka kepada golongan sasar.

Selain daripada menyediakan platform kepada golongan belia untuk mencari pekerjaan, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara POLISAS dengan pihak industri dan agensi kerajaan melalui kolaborasi dan smart partnership.

Pada program yang sama turut diadakan majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) yang melibatkan lapan rakan kolaborasi / pihak industri iaitu Lembayu Timur Engineering, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Wilayah Terengganu, Unipeq Sdn.Bhd., Jamal, Amin & Partners, Afiyy Store Sdn.Bhd., DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, Tetuan Zainy & Partners dan Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA).

Sijil program MyFutureJobs Career Launchpad turut disampaikan kepada 15 pelajar POLISAS pelbagai bidang pengajian. Penerima sijil telah menamatkan program ini yang merupakan platform kepada para pelajar tahun akhir khususnya, sebagai persediaan sebelum ke dunia pekerjaan, memberi maklumat serta pendedahan kepada bakal graduan berkaitan kerjaya pasaran modal pada masa kini.

POLISAS merupakan satu-satunya institusi pendidikan di negeri Pahang yang telah diberikan peluang oleh pihak PERKESO dalam menjayakan projek rintis program ini yang bermula tahun lalu.

Selain itu, turut diadakan Focus Group Dialogue – Logistics Webinar : East Coast as a New Regional Hub bersama dua ahli panel iaitu Ketua  Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio serta Pengarah Bahagian Minyak dan Gas, Maritim dan Perkhidmatan Logistik, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Habibah Enok.

Karnival kerjaya tahun ini turut dimeriahkan dengan penglibatan 16 peniaga yang majoritinya menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti