Mantan Pengarah PTSB Anugerahkan Skrol kepada Graduan Sebelum Bersara

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
09 October 2024
Akademik, Aktiviti Pelajar, Alumni, Komuniti, Umum

KULIM – Seramai 1,023 graduan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di Kulim Hi-Tech Park telah dianugerahkan diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen PTSB ke-18 yang berlangsung dengan jayanya pada 6 dan 7 Oktober 2024.

Menurut Pengarah PTSB, Mohd Ruzi Hamzah, kesemua graduan tersebut terdiri daripada sesi II 2022/2023 dan sesi I 2023/2024, meliputi 288 graduan daripada Jabatan Perdagangan, 194 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, 305 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan 236 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Bertemakan “Graduan TVET Pemacu Malaysia Madani,” PTSB memberi penghormatan kepada Mohd Noor Shahudin, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, yang juga mantan Pengarah PTSB sebagai penyampai skrol bagi sidang pertama konvokesyen.

“Berbaki kurang dari 10 hari sebelum saya bersara setelah berkhidmat selama 37 tahun 3 bulan, peluang untuk menyampaikan skrol kepada graduan PTSB merupakan kenangan yang terindah buat saya. PTSB dan seluruh warganya pernah menjadi sebahagian hidup saya selama enam tahun setengah ketika saya memikul amanah sebagai pengarah di sini,” ujarnya.

Majlis ini turut menyaksikan penyampaian tiga anugerah utama iaitu Anugerah Projek Terbaik Jabatan, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, serta Anugerah Pengarah.

Sehingga kini, lebih 23,000 graduan PTSB, yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Kulim, telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan.

PTSB kekal komited dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi konsep “TVET For All” dengan pencapaian kadar kebolehpasaran graduan POLYCC yang mencapai lebih 97% pada tahun 2023, satu pencapaian tertinggi yang bersejarah dalam sektor pendidikan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti