Meneroka Inovasi: Kunjungan Pusat Aeroangkasa USM ke PTSB

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
07 December 2025
Uncategorized

KULIM HI TECH – Pusat Aeroangkasa Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim Kedah sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan dalam bidang aeroangkasa.

Dalam sesi tersebut, taklimat utama telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Norizham Bin Abdul Razak, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM. Beliau telah membentangkan program penyelidikan terkini yang memberi tumpuan kepada inovasi dalam teknologi aeroangkasa termasuk kajian bahan komposit, sistem penerbangan dan aplikasi industri.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan peluang latihan dan bengkel yang ditawarkan kepada pelajar serta pensyarah PTSB, merangkumi bengkel teknikal, latihan industri dan projek penyelidikan bersama.

“Kerjasama ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik kedua-dua pihak, serta menyumbang kepada pembangunan teknologi aeroangkasa di Malaysia.”
Profesor Madya Dr. Norizham Bin Abdul Razak

Taklimat tersebut juga memperkenalkan alatan dan fasiliti di PPK Aeroangkasa, serta kemudahan penyelidikan canggih yang menjadi tunjang kepada pembangunan ilmu dan teknologi dalam bidang aeroangkasa di USM.

Kunjungan ini turut dihadiri oleh staf Unit Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan (UPIK) serta Center of Technology (COT) yang bersama-sama membincangkan potensi kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi.

“UPIK melihat kunjungan ini sebagai satu platform penting untuk memperluas jaringan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pengkomersialan. Melalui perkongsian kepakaran dan fasiliti, kami yakin ia mampu memberi impak positif kepada pembangunan teknologi aeroangkasa serta membuka peluang baharu kepada pelajar dan penyelidik,” tambah Ts. Norizah binti Md. Ishak, Ketua Unit Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan (UPIK).

Kunjungan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi, malah membuka ruang kerjasama strategik dalam melahirkan tenaga pakar dan memperkasa ekosistem penyelidikan serta inovasi negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti