Mengorak Langkah Global: Pengalaman Transformasi Pelajar Kolej Komuniti Seberang jaya di Persada Antarabangsa

KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA
19 May 2026
Uncategorized

Permatang Pauh, 19 Mei — Pengajian di Kolej Komuniti kini bukan lagi sekadar tertumpu di dalam bilik kuliah tempatan. Malah, institusi pendidikan TVET ini berjaya membuka peluang kepada para pelajar untuk menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa menerusi Program Mobiliti Pelajar POLYCC Certificate & Diploma Level Malaysia–Indonesia 2026.

Program Mobiliti Pelajar Malaysia–Indonesia POLYCC ini telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan tiga institusi pendidikan iaitu Kolej Komuniti Seberang Jaya, Politeknik Sultanah Bahiyah (PTSB) dan Politeknik Negeri Medan, Indonesia. Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik, pertukaran budaya serta pembangunan kompetensi pelajar di peringkat antarabangsa.

Seramai 10 orang pelajar daripada program Diploma Teknologi Elektronik Instrumentasi, Sijil Teknologi Elektrik dan Sijil Teknologi Mekanikal bersama 10 orang staf telah menyertai program yang berlangsung dari 16 hingga 19 Mei 2026 ini. Para pelajar menerima pendedahan baharu dari segi ilmu, idea dan budaya sepanjang program berlangsung. Program ini turut disertai oleh pensyarah daripada Politeknik Sultanah Bahiyah, manakala delegasi Kolej Komuniti Seberang Jaya diketuai oleh Ts. Hj. Husaini Aza bin Mohd Adam selaku Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya.

Program mobiliti ini melibatkan penyertaan pelajar dan pensyarah dari Malaysia serta Indonesia melalui pelbagai aktiviti akademik, lawatan industri, perkongsian ilmu dan program kebudayaan. Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman pembelajaran di luar negara, malah membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan serta pemahaman silang budaya dalam kalangan peserta.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan sistem pendidikan, teknologi pembelajaran serta amalan terbaik yang dilaksanakan di institusi masing-masing. Selain itu, pelajar turut berpeluang menyertai sesi interaksi akademik, pembentangan projek, bengkel inovasi dan aktiviti kemasyarakatan seperti sumbangan barangan keperluan kepada anak-anak madrasah, gotong-royong menaik taraf bilik bacaan madrasah serta pemasangan lampu solar.

Kerjasama antara institusi Malaysia dan Indonesia dalam program POLYCC ini turut menjadi simbol hubungan erat antara kedua-dua negara dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Melalui program seperti ini, institusi pengajian dapat berkongsi kepakaran, memperkukuh hubungan strategik serta membuka peluang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya, Ts. Hj. Husaini Aza bin Mohd Adam, program mobiliti pelajar ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, berfikiran global serta mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program juga mampu meningkatkan keyakinan diri dan memupuk semangat kerjasama antara pelajar daripada pelbagai latar belakang budaya.

Sementara itu, menurut Aiman Danial bin Azwandi, pelajar Sijil Teknologi Elektrik, pengalaman menyertai program ini disifatkan sebagai titik tolak yang memberi perubahan besar dalam kehidupannya kerana para peserta diuji untuk mengurus diri sendiri, berinteraksi dengan komuniti antarabangsa serta menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Beliau turut menyatakan bahawa program ini membuktikan Kolej Komuniti merupakan platform terbaik yang menawarkan laluan kerjaya bertaraf dunia dan berharap lebih ramai pelajar akan merebut peluang berharga seperti ini pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, Program Mobiliti Pelajar Malaysia–Indonesia ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan pendidikan serantau serta memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada semua peserta. Diharapkan program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan demi melahirkan generasi pelajar yang holistik, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran global.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti