
KUANTAN, 30 Julai 2025 – Minggu Transformasi Siswa (MTS) pelajar baharu
program Diploma sesi akademik 2025/2026 yang berlangsung selama tiga hari bukan
sahaja memberi pendedahan awal proses pengajian dan suasana kampus tetapi lebih
kepada untuk mengukuhkan jati diri dan membangunkan sahsiah pelajar.
Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Hisamudin Mohd Tamim
berkata, fokus POLISAS bukan sahaja menyediakan pelajar dengan kemahiran
teknikal, tetapi juga membentuk sahsiah dan daya kempimpinan yang kukuh.
“ Pelajar perlu sentiasa fokus kepada pembelajaran akademik dan pada masa yang
sama, pelajar juga perlu menjaga perilaku serta aktif dalam program-program
kokurikulum yang dilaksanakan oleh politeknik misalnya, sama ada di peringkat
jabatan, kebangsaan mahupun antarabangsa ”, katanya pada Majlis Perasmian
Penutup MTS Sesi Akademik 2025/2026.
Dalam ucapannya, Hisamudin juga turut menegaskan, POLISAS sememangnya
optimis dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang
teknikal, tetapi juga berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa serta
mempunyai peluang yang tinggi dalam pasaran pekerjaan ataupun melanjutkan
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“ POLISAS mencatatkan pencapaian kebolehpasaran graduan melebihi 95% setiap
tahun dan ini membuktikan graduan yang dilahirkan mempunyai nilai dan kualiti yang
diperlukan pihak industri ”, ujarnya lagi.
Hari pendaftaran pelajar baharu yang berlangsung pada 27 Julai 2025 merekodkan
1281 pelajar telah mendaftar di POLISAS dalam 14 program pengajian yang
ditawarkan.