
KULIM HI-TECH, 30 Julai 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) melabuhkan tirai Minggu Transformasi Siswa (MTS) bagi Sesi I 2025/2026 dengan jayanya bertempat di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Seramai 803 pelajar baharu secara rasmi bergelar warga PTSB dan memulakan perjalanan mereka dalam pelbagai program pengajian termasuk peningkatan ketara bagi bidang Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Awam.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita Arshad yang turut menyampaikan amanat penting kepada semua pelajar baharu.
“Berpegang teguhlah pada niat dan tujuan asal anda berada di sini. Di sinilah anda akan membina bukan sahaja ilmu tetapi juga jati diri dan nilai sebagai insan beradab,” tegas beliau dalam ucapannya.
Beliau menekankan kepentingan adab, fleksibiliti minda dan penguasaan teknologi dalam membentuk pelajar TVET yang holistik dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Teknologi seperti AI dan AR semakin menguasai dunia pekerjaan, namun kita perlu memastikan ia terus dipandu oleh manusia dengan nilai kemanusiaan. Kuasai teknologi dengan bijak dan bertanggungjawab,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa MTS Sesi I 2025/2026, Norsyahidan Mohamad Yusof, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program selama seminggu tersebut.
“Berbanyak-banyak terima kasih dan syabas kepada jawatankuasa pelaksana atas komitmen dan kerjasama yang tinggi. Kejayaan penganjuran MTS kali ini adalah hasil kebersamaan yang sangat membanggakan,” katanya.
MTS merupakan program orientasi yang bertujuan memperkenalkan pelajar kepada sistem dan budaya pembelajaran di politeknik selain membina asas integriti, sahsiah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan pelajar baharu.
PTSB terus komited dalam melahirkan graduan TVET yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan nilai insaniah selaras dengan aspirasi negara ke arah pembangunan modal insan berkualiti tinggi.