Misi Mobiliti Latihan Industri Pelajar POLISAS ke China

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
21 July 2025
BERITA, Kolaborasi

Seramai 14 pelajar Diploma Logistik dan Rantaian Bekalan (DLS) dari Jabatan Perdagangan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), bersama seorang pegawai pengiring, berjaya menyelesaikan latihan industri selama dua minggu di Wuhan Technical College of Communications (WTCC), China, baru-baru ini.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) – MITRA, sebuah usaha strategik yang bukan hanya memberi pendedahan teknikal, tetapi turut memupuk nilai disiplin, pemikiran global dan budaya kerja bertaraf antarabangsa dalam kalangan belia Malaysia.

Misi mobiliti ini berlangsung dari 22 Jun hingga 5 Julai 2025 dan bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai teknologi logistik moden di peringkat antarabangsa.

Inisiatif ini adalah hasil ilham Yang Amat Behormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, melalui Malaysia-China Institute (MCI) yang diterajui oleh Yang Berhormat Haji Manndzri Haji Nasib, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat MCI.

Program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama rakan pelaksana, iaitu BELIA MAHIR dan TANG Education Group dari China. Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) juga memainkan peranan penting dalam menaja dan membuka peluang kepada anak muda dari komuniti B40 untuk merasai pengalaman antarabangsa dan memperkasa kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pegawai Pengiring yang juga merupakan Pensyarah program DLS, POLISAS, Nor Fitrah Shamsudin berkata, selama dua minggu, para pelajar berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran yang berkaitan dengan operasi logistik canggih di Wuhan.

“Salah satu program utama adalah lawatan ke Pharmaceutical Group Logistics Co. Ltd, sebuah syarikat logistik farmaseutikal yang menggunakan teknologi dan peralatan pengurusan gudang tercanggih. Pendedahan ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat secara langsung sistem pengurusan gudang yang lebih efisien.

Mereka juga berpeluang mengikuti kelas Intelligent Logistics Warehousing Operations Training, di mana mereka didedahkan dengan proses inbound dan outbound menggunakan Material Handling Equipment serta Sistem Wisdom yang canggih dan mempelajari sistem inventori moden yang digunakan dalam pengurusan gudang”, katanya.

Tambah beliau, para pelajar juga diberikan peluang untuk mengendalikan peralatan logistik penting seperti forklift dan kren, yang menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) bagi tujuan latihan praktikal. Pelajar juga turut merasai pengalaman mengendalikan forklift dan mempelajari komponen utama pada jentera tersebut. Latihan ini memberi pendedahan langsung mengenai operasi pergudangan yang melibatkan penggunaan teknologi terkini.

Selain fokus utama dalam bidang logistik, para pelajar juga berpeluang mengikuti kelas bahasa Mandarin dan kelas Budaya Tradisional Cina seperti Tea Etiquette serta nyanyian dan juga tarian. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami budaya tempatan serta meningkatkan kefahaman silang budaya dalam suasana pendidikan global.

Majlis Penutupan program ini dirasmikan oleh Naib Presiden, WTCC, Mr. Xie Jihong. Hadir sama ialah Dekan Logistik WTCC, Mr. Yang Jin .Dalam majlis tersebut, para pelajar turut menerima sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas pencapaian mereka.

Keberhasilan program ini bukan hanya memberikan pendedahan penting dalam bidang logistik dan rantaian bekalan, tetapi juga menjadi langkah penting dalam membentuk modal insan yang lebih berkemahiran dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan global.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti