MYIPO Sumbang Zakat kepada pelajar POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
04 March 2025
BERITA, Umum

Jitra –Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) yang merupakan  sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pembangunan sistem harta intelek serta bertindak sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memilih POLIMAS  sebagai penerima wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan kewangan sepanjang pengajian mereka. Majlis penyerahan sumbangan wang zakat ini telah disempurnakan oleh Razhuan Hussin, Penolong Ketua Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) MYIPO kepada  Pengarah POLIMAS, Rosli Idris.

Pada majlis ini, pihak MYIPO telah menyampaikan sebahagian wang zakat mereka bagi tahun 2024 berjumlah RM 22,500 kepada POLIMAS. Sumbangan ini merupakan sumbangan kepada institusi terpilih dan 150 orang pelajar POLIMAS Kumpulan B40 menjadi sasaran utama penerima sumbangan wang zakat dari MYIPO.

Pemberian sumbangan wang zakat seperti ini oleh pihak korporat mahupun individu amat digalakkan dan dihargai oleh Pengurusan POLIMAS. Melalui pemberian seperti ini, ia dapat meringankan bebanan kewangan pelajar yang tidak berkemampuan terutamanya untuk menjelaskan yuran pengajian mereka.

Menurut Pengarah POLIMAS, Rosli Idris yang telah hadir untuk menerima sumbangan dalam majlis ini berkata “POLIMAS telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menilai para penerima zakat yang layak dan satu garis panduan penilaian penerima zakat telah kita sediakan. Pemberian zakat ini kita berikan kepada asnaf yang layak meliputi tiga (3) golongan sahaja iaitu fakir, miskin dan fisabilillah”

“Mekanisme penentuan penerima yang layak dibuat secara telus dan terperinci berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan dalam garis panduan ini yang dibangunkan hasil rujukan kepada garis panduan agihan zakat oleh institusi zakat” katanya lagi.

Menurutnya lagi, “Bagi pihak POLIMAS saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MYIPO kerana memilih POLIMAS sebagai politeknik pertama yang menerima wang zakat dari MYIPO. Kepada para pelajar yang akan menerima wang zakat ini adalah diharapkan dapat menggunakannya dengan penuh berhemah demi keperluan semasa. Pihak POLIMAS merakamkan penghargaan kepada MyIPO atas sumbangan yang diberikan dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.”

Menurut Penolong Ketua Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) MYIPO, Razhuan Husin dalam ucapannya sebelum penyerahan sumbangan zakat berkata, “Program ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MyIPO dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan harta intelek dalam kalangan mahasiswa. Dengan sumbangan zakat dari MYIPO ini diharapkan dapat membantu sumber kewangan pelajar dalam meneruskan pengajian terutama bagi golongan pelajar kategori B40”.

Selain daripada penyampaian zakat, program ini juga merangkumi sesi taklimat mengenai pengenalan harta intelek. Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan perlindungan harta intelek serta peranannya dalam dunia perniagaan dan inovasi.

Turut hadir bersama dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat MYIPO , Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari. Majlis Sumbangan Zakat MYIPO ini diadakan baru-baru ini bertempat di Dewan Kuliah 1, POLIMAS.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti