MyIPO sumbang zakat RM 22,500 kepada pelajar asnaf POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
09 March 2025
KERATAN AKHBAR, SUARA TV

SUARA.TV

Oleh Zihan Zari

JITRA – Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menyalurkan sumbangan wang zakat bagi tahun 1446H/2025M berjumlah RM22,500 kepada 150 pelajar asnaf Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di Dewan Kuliah 1, POLIMAS dekat sini baru-baru ini.

Majlis penyerahan sumbangan wang zakat ini telah disempurnakan oleh Penolong Ketua Pengarah (Pentadbiran dan Kewangan) MyIPO, Razhuan Hussin kepada Pengarah POLIMAS, Hj. Rosli Idris.

Turut hadir, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari.

“POLIMAS dalam kenyataannya berkata MyIPO merupakan sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pembangunan sistem harta intelek serta bertindak sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“MYIPO memilih POLIMAS sebagai penerima wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan kewangan sepanjang pengajian mereka.

“Pemberian sumbangan wang zakat seperti ini oleh pihak korporat mahupun individu amat digalakkan dan dihargai oleh Pengurusan POLIMAS.

“Melalui pemberian seperti ini, ia dapat meringankan bebanan kewangan pelajar yang tidak berkemampuan terutamanya untuk menjelaskan yuran pengajian mereka, ”kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Rosli berkata POLIMAS telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menilai para penerima zakat yang layak dan satu garis panduan penilaian penerima zakat telah disediakan.

“Pemberian zakat ini kita berikan kepada asnaf yang layak meliputi tiga golongan sahaja iaitu fakir, miskin dan fisabilillah.

“Mekanisme penentuan penerima yang layak dibuat secara telus dan terperinci berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan dalam garis panduan ini yang dibangunkan hasil rujukan kepada garis panduan agihan zakat oleh institusi zakat ” katanya.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MyIPO kerana memilih POLIMAS sebagai politeknik pertama yang menerima wang zakat dari MyIPO.

“Kepada para pelajar yang akan menerima wang zakat ini adalah diharapkan wang zakat ini dengan penuh berhemah demi keperluan semasa.

“Pihak POLIMAS merakamkan penghargaan kepada MyIPO atas sumbangan yang diberikan dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan, ”katanya lagi.

Terdahulu Razhuan dalam ucapannya berkata, sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MyIPO dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

“Selain itu, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan harta intelek dalam kalangan mahasiswa.

“Dengan sumbangan zakat dari MyIPO ini diharapkan dapat membantu sumber kewangan pelajar dalam meneruskan pengajian terutamanya bagi golongan pelajar kategori B40, ”ujarnya.

“Selain daripada penyampaian zakat, program ini juga merangkumi sesi taklimat mengenai pengenalan harta intelek.

“Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan perlindungan harta intelek serta peranannya dalam dunia perniagaan dan inovasi,”tambah kenyataan itu.- SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti