Nor Iman Mustafa, Cemerlang dalam Keusahawanan dan Teknologi

KOLEJ KOMUNITI AMPANG
07 August 2024
Alumni

Ampang, 5 Ogos 2024 – Menjelang Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2024, Nor Iman bin Mustafa, graduan dari program Sijil Teknologi Telekomunikasi (STT) di Kolej Komuniti Ampang, muncul sebagai salah satu ikon kejayaan graduan TVET. Beliau berjaya mengembangkan perniagaan dalam dua bidang utama, sekaligus membuktikan potensi pendidikan TVET dalam dunia keusahawanan dan teknologi.

Nor Iman merupakan pengasas Jumin Agro Farm, sebuah syarikat yang memfokuskan kepada penternakan lembu dan kambing untuk kenduri serta ibadah korban. Perkhidmatan Kambing Golek yang ditawarkannya juga semakin popular dan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pelanggan. Di samping itu, Nor Iman mengusahakan perniagaan menjual jam tangan di media sosial seperti TikTok, dengan strategi pemasaran yang inovatif dan pasukan hos yang menjalankan penstriman langsung untuk mempromosikan produknya. Kejayaan ini membuktikan kebolehannya dalam mengadaptasi teknologi digital untuk mencapai pasaran yang lebih luas.

Pencapaian Nor Iman tidak berhenti di situ. Beliau juga aktif menyertai pelbagai program dan pertandingan keusahawanan yang menguji kemahiran dan kreativiti beliau. Antara penyertaannya termasuk Karnival Keusahawanan Politeknik dan Kolej Komuniti Peringkat Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan 2022, Gerai Jualan di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Peringkat Zon Selangor 2022, dan Program Young Entrepreneurship Challenge 2022. Pada tahun ini, beliau turut berjaya dalam Pertandingan Business Pitching 2024 di Kolej Komuniti Ampang, mempamerkan kebolehannya dalam menyampaikan idea perniagaan yang berkesan dan inovatif.

Dalam bidang teknikal, Nor Iman tidak ketinggalan untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan teknologi dan robotik. Beliau menyertai Pra-Kelayakan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) di Ciast Shah Alam dan berjaya mewakili pasukan sumorobot KKAS dalam 17th FIRA Malaysia Cup 2024 dan Taiping National SUMO Robot Competition. Kejayaan beliau menjuarai tempat pertama dalam Program FIRA Autonomous Robot (Sumo Robot) di Kolej Komuniti Seberang Jaya menunjukkan bakat teknikalnya yang luar biasa.

Dengan pendapatan bulanan yang lumayan, Nor Iman kini menetap di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Beliau sedang melanjutkan pelajaran sepenuh masa dalam Diploma Teknologi Telekomunikasi (DTT) di Kolej Komuniti Ampang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi. Nor Iman adalah contoh nyata bahawa graduan TVET mampu mencapai kejayaan besar dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara. Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2024 yang bakal berlangsung dalam masa 5 hari lagi dijangka akan meraikan ramai lagi graduan cemerlang seperti Nor Iman, yang telah membuktikan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional adalah laluan penting untuk masa depan yang cerah.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti