Operation Green Campus KKKP 2025 – Usaha Kelestarian Alam Sekitar Diteruskan

KOLEJ KOMUNITI KUALA PILAH
18 August 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA, Umum

Kuala Pilah, 31 Julai 2025 – Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP) sekali lagi mengorak langkah ke arah kelestarian alam sekitar dengan penganjuran Program Operation Green Campus yang dianjurkan oleh Pasukan SmartGreen KKKP dengan kerjasama Jawatankuasa Keceriaan KKKP dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

Program ini merangkumi pelbagai aktiviti berfokuskan kesedaran dan amalan kelestarian, antaranya pengumpulan sisa kitar semula seperti kertas, kotak, botol plastik, tin aluminium, sisa elektrik (e-waste), fabrik dan minyak masak terpakai. Lokasi pengumpulan bertempat di Lot 41, KKKP, di mana pelajar, staf dan komuniti sekitar hadir menyumbang bahan kitar semula yang telah dipastikan dalam keadaan bersih dan kering.

Selain aktiviti kutipan, turut diadakan ceramah bertajuk “Pengasingan Sisa Pepejal dan Kitarecycle” yang akan disampaikan oleh Encik Ameer Asyraf Rosidan, Eksekutif Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan, SWM Environment Negeri Sembilan. Ceramah berkisarkan kesedaran kitar semula ini mengingatkan pelajar tentang kepentingan pengurusan sisa pepejal yang mampan, kaedah pengasingan sisa di punca, serta peranan setiap individu dalam mengurangkan pencemaran dan menggalakkan ekonomi kitar semula.

Dalam sesi ceramah ini, SWM Environment turut memperkenalkan program Kitarecyle – sebuah inisiatif pengumpulan sisa kitar semula berinsentif yang membolehkan orang ramai menukar barangan kitar semula kepada mata ganjaran. Para peserta digalakkan memuat turun dan menggunakan aplikasi Kitarecyle atau layari laman https://kitarecycle.com/ untuk memudahkan penghantaran, penjejakan jumlah kitar semula, serta penebusan mata ganjaran. Turut hadir semasa sesi ceramah adalah Encik Daniel Sahrill Abdul Hadi selaku Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan SWM Environment Negeri Sembilan.

Para pelajar turut terlibat secara langsung dalam proses pembersihan dan penyisihan sisa kitar semula mengikut kategori, di samping menyertai sesi penyerahan sisa yang dilaksanakan pada pagi 7 Ogos 2025. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kemahiran kerja berpasukan, malah memupuk rasa tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Majlis penutup program diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil SWCorp Cawangan Kuala Pilah Puan Norr Azreen Mohd Ghazali dan SWM Environment Negeri Sembilan dan semua pihak yang terlibat, diiringi sesi bergambar bersama warga KKKP.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) KKKP, Encik Muhammad Shazwan Sazali dalam ucapan ringkasnya, menzahirkan penghargaan kepada semua yang telah menjayakan program ini dan berharap usaha seperti ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai budaya kampus hijau yang berimpak positif kepada alam sekitar.

OperationGreenCampus #SmartGreenKKKP #KKKPGoGreen #RecycleForFuture #Kitarecyle

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti