PASANGAN SUAMI ISTERI BERKONGSI CINTA DI PENTAS KONVOKESYEN

KOLEJ KOMUNITI MASJID TANAH
19 August 2024
Akademik

MERLIMAU, 19 Ogos – Berkongsi pentas yang sama pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2024 menjadi kenangan terindah buat pasangan suami isteri Muhammad Fakrul Reeza Abdullah, 22 dan Maizatul Hasanah Mohammed Fadzil, 22 selepas berjaya menamatkan pengajian bersama-sama.

Fakrul Reeza dan Maizatul Hasanah yang merupakan graduan Kolej Komuniti Tangga Batu berjaya menamatkan pengajian dalam Sijil Pengembaraan Pelancongan.

Fakrul Reeza yang kini bertugas sebagai sebagai pengendali permainan di taman tema Genting Highlands berkata, beliau dan pasangan sememangnya merancang untuk menyambung pengajian dan bergraduasi di pentas konvokesyen bersama-sama.

“Kami berasa teruja dan seronok dapat bersama-sama menamatkan pengajian serta meraikan bersama keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Maizatul Hasanah pula berkata momen indah tersebut merupakan salah satu detik kenangan yang amat berharga bagi mereka berdua yang kini memiliki seorang cahaya mata.

“Kenangan ini amat terindah buat kami berdua kerana dapat bergraduasi bersama-sama sebagai suami isteri dan juga cahaya mata kami yang berumur 1 tahun.”

Tambahnya, sokongan dan dorongan antara satu sama lain sepanjang tempoh pengajian mereka menjadi inspirasi bersama untuk menamatkan pengajian.

“Saya berasa bertuah dan bersyukur, kini kami menjadi graduan KKTB. KKTB banyak membantu saya dan pasangan dalam banyak aspek dan bidang terutama sekali di alam pekerjaan yang sebenar,” tambahnya.

Fakrul Reeza dan Maizatul Hasanah meruapakan antara 609 graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2024 di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau.

Fakrul Reeza (kanan) dan Maizatul Hasanah (kiri) bergambar kenangan bersama bayi mereka, Umar Ayden dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2024 di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau.
Fakrul Reeza (kanan) dan Maizatul Hasanah (kiri) bergambar kenangan bersama bayi mereka, Umar Ayden dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2024 di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti