Kejayaan gemilang diraih oleh Pasukan DataSmith dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) apabila mereka dinobatkan sebagai juara dalam Data Hackathon POLYCC 2024 yang berlangsung di Terengganu Digital. Pertandingan yang disertai oleh 87 pasukan dari institusi POLYCC di Malaysia ini merupakan satu platform untuk meneroka dan mengukuhkan kemahiran Data Analitik dan Data Besar.
Dua dari lima pasukan PTSB yang berentap di peringkat saringan berjaya ke peringkat akhir. DataSmith yang dianggotai oleh Wan Nur Liyana, Nur Zakierah dan Batrisya di bawah bimbingan Puan Ida Safinar Aziz tampil unggul dengan penyelesaian yang inovatif dan membawa pulang hadiah sebanyak RM1000.00.
Sementara itu, Kumpulan VoltVision yang diketuai oleh Amalia Farisha dibimbing oleh Puan Masburah binti Mustafa turut menunjukkan prestasi mengagumkan. Anggota mereka termasuk Monisha dan Akhpirah memberikan idea-idea yang segar dan relevan kepada cabaran yang dihadapi.
Kejayaan ini merupakan hasil daripada strategi hebat yang diguna pakai oleh peserta dalam menganalisis set data sebenar dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Mereka bukan sahaja menyelesaikan permasalahan tetapi juga mengemukakan cadangan penyelesaian melalui data visualisasi yang interaktif dan analisis prediktif.
Pencapaian pasukan DataSmith ini merupakan langkah awal yang penting dalam memperkenalkan Analisis Data Besar dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning) kepada semua pelajar. Ini membuktikan bahawa pelajar dan pengajar PTSB mampu bersaing dengan perkembangan industri yang pesat.
Syabas kepada semua pembimbing dan pelajar yang terlibat yang telah berkorban masa dan tenaga untuk terlibat dalam program ini.