Pelajar Jepun teruja kenali budaya Malaysia

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
17 September 2024
Aktiviti Pelajar, BERITA

17 September 2024, Shah Alam – Keunikan Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya menjadi tarikan kepada sekumpulan pelajar dan guru dari Aichi Keisei High School, Jepun untuk mengadakan program pertukaran budaya di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

Program yang disertai seramai 31 pelajar serta dua guru itu bertujuan untuk mendapat pendedahan mengenai budaya dan adat resam rakyat berbilang kaum di Malaysia selain bertujuan bertukar-tukar pendapat antara pelajar kedua-dua negara.

Menurut Pengarah PSA Zainah Rujihan, lawatan tersebut bukan sahaja memberikan peluang untuk melihat secara langsung bagaimana sistem pendidikan dan latihan di PSA, tetapi juga mewujudkan ruang untuk pertukaran idea dan pengetahuan antara dua budaya yang berbeza.

“Jepun dikenali di seluruh dunia kerana disiplin yang tinggi, inovasi dan etika kerja yang kukuh,”

“Kualiti ini menjadikan Jepun sebagai peneraju dalam pelbagai bidang, dari teknologi hingga pendidikan. PSA menghargai nilai-nilai ini dan percaya banyak yang boleh dipelajari.”

Pelbagai aktiviti disusun bagi memperkenalkan budaya tradisi rakyat Malaysia antaranya persembahan kebudayaan, sesi penerangan mengenai adat resam dan budaya serta aktiviti permainan tradisional seperti gasing, teng teng, sepak bulu ayam dan batu seremban.

Di samping itu, pakaian tradisional seperti baju kurung, baju melayu, cheongsam dan sari turut diperkenalkan dan mereka berpeluang menggayakan pakaian tersebut.

Turut diadakan aktiviti relaksasi menggunakan peralatan psikologi seperti ‘stress ball’ dan alatan terapi berunsurkan muzik yang mampu membantu perkembangan serta pengurusan kendiri remaja.

Terdahulu ketibaan delegasi yang diketuai Goshima Rikuto disambut oleh pihak pengurusan, para pensyarah dan pelajar PSA dengan diiringi alunan muzik tradisional serunai beserta persembahan seni silat.

Salah seorang peserta, Ikeda Neo, 16, berkata beliau berasa amat gembira berkunjung ke negara ini kerana dapat melihat sendiri keunikan Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian agama, kaum dan budaya.

Sementara itu, Yuto Shinoda, 17, pula teruja dengan pelbagai bahasa dan dialek yang terdapat di Malaysia serta tidak kekok mencuba untuk bertutur dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti