Pelajar POLISAS raih kemenangan dalam SUKMA 2024

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
30 August 2024
BERITA, Sukan

“Saya amat teruja dan bangga apabila dapat mengibarkan bendera negeri dan mendengar lagu negeri Pahang berkumandang di dalam stadium tempoh hari ”, ujar Nur Ayu Rohma Mohd Insan, 19, yang berkongsi perasaan ketika diumumkan sebagai pemenang Pingat Emas  acara Pencak Silat Kategori Tanding – Putri Kelas A (45kg-50kg), pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak baru-baru ini.

Beliau yang merupakan pelajar semester satu, Diploma Teknologi Makanan Pengurusan Halal, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) telah menceburi pelbagai bidang sukan bermula dengan sukan taekwando , olahraga balapan dan padang serta mula berjinak-jinak dalam bidang silat pada tahun 2021, ketika berusia 16 tahun.

“ Saya dilahirkan dalam keluarga yang bergiat aktif dalam bidang silat di bawah bimbingan Persatuan Seni Silat Gerak Pusaka Alam Pahang.

“ Selain dorongan berterusan oleh keluarga dan jurulatih, saya juga berminat dalam bidang silat ini kerana  latihan silat memerlukan disiplin yang tinggi serta membantu meningkatkan kecergasan fizikal ”, kongsinya lagi.

Beliau merupakan salah sorang atlet silat yang mula dikesan bakatnya melalui beberapa kemenangan yang diraih dalam kejohanan yang disertai di bawah Persatuan Silat Kebangsaan Daerah Kuantan (PESAKA KUANTAN).

Selain menjalani latihan bersama Kelab Silat PESAKA Kuantan, beliau juga turut berlatih  di Kelab Silat Olahraga POLISAS semenjak 2021 sebagai pelapis dan telah berjaya dalam Program Pemilihan Atlet Negeri Pahang pada tahun 2022 semasa bersekolah di tingkatan lima.

Program Pembangunan Sukan Silat POLISAS yang diterajui oleh Jurulatih Silat POLISAS, Noor Ayu Azila Sulaiman dengan kerjasama beberapa  Persatuan dan Kelab Silat di bawah PESAKA KUANTAN bertujuan untuk mengesan bakat-bakat pesilat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Noor Ayu Azila berkata Kelab Silat Olahraga POLISAS yang dikendalikannya bukan sahaja melatih anak-anak muda dalam bidang silat semata tetapi dalam masa yang sama turut memberikan galakan dan sokongan untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti di politeknik khususnya.

“ Dengan ini mereka dapat diketengahkan bukan sahaja di kejohanan kebangsaan dengan mewakili negeri mahupun negara tetapi juga dapat diketengahkan sebagai atlet silat di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

“ Alhamdulillah, Nur Ayu Rohma memilih POLISAS untuk melanjutkan pengajian dan saya berharap beliau dan rakan-rakan yang lain terus maju dalam bidang silat yang diceburi serta turut cemerlang dalam bidang akademik masing-masing”, katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar POLISAS, Nur Damia Imanina Azian turut berjaya meraih Pingat Gangsa dalam temasya sukan yang sama.

Beliau yang merupakan pelajar semester empat, Diploma Pengurusan Sistem Maklumat Perniagaan telah berjaya meraih kejayaan dalam acara memanah bagi kategori Team Olympic Round Compound Women.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti