Pelajar Politeknik Ungku Omar Raih Pingat Emas di Kejohanan Silat Antarabangsa 2024

POLITEKNIK UNGKU OMAR
13 August 2024
Sukan

Johor, 12 Ogos 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Malaysian Varsity Silat Championship and International Invitation 2024. Kejohanan berprestij ini telah berlangsung dari 8 hingga 11 Ogos 2024, bertempat di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), UTHM.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Pusat Sukan Tumpuan (PST) Silat KPT-UTHM yang diterajui oleh Pusat Sukan Universiti, UTHM, dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Malaysia. Sebanyak 30 pasukan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Thailand bersaing dalam kejohanan ini. Kejohanan ini juga turut menyaksikan penyertaan pasukan yang mewakili Politeknik Malaysia.

Dalam kejohanan ini, seramai 17 pelajar dari Politeknik Ungku Omar (PUO) telah mengambil bahagian, memberikan saingan sengit kepada peserta-peserta lain. Pelajar Politeknik Ungku Omar telah memenangi Pingat Emas dalam pertandingan silat, mengatasi peserta dari Thailand yang merupakan atlet nasional negara tersebut. Che Muhammad Izad Izuddin bin Che Razali, pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO, telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam kategori Men Class F (70-75kg), sekali gus menyumbang kepada kejayaan pasukan.

Kejayaan ini telah mencetuskan semangat juang yang tinggi dalam kalangan para pelajar dan atlet lain di Politeknik Malaysia serta institusi pengajian tinggi lain di seluruh negara. Mereka kini lebih berazam untuk terus berlatih dan mencapai kejayaan dalam kejohanan-kejohanan akan datang. Kejayaan ini juga menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan silat dan menjadikannya sebagai platform untuk membina disiplin, keberanian, dan semangat kesukanan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti