3 April 2023, Pasir Gudang – Dalam meringankan beban mereka yang terlibat akibat banjir, satu sesi Penyampaian Bakul Rahmah kepada pelajar-pelajar mangsa banjir POLYCC Zon Selatan telah diadakan di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), disini.
Antara pelajar yang terkesan adalah dari Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB), Politeknik Ibrahim Sultan dan Kolej Komuniti Kota Tinggi. Agihan sumbangan Bakul Rahmah ini telah diuruskan oleh Kolej Komuniti Ledang dan disampaikan kepada pihak pengurusan POLYCC dan seterusnya diserahkan kepada pelajar-pelajar yang terkesan. Sesi tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PIS, Noor Azmi Asmawi, Ketua Unit HEP PIS, Abu Bakar Abdul Hamid, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Johaini Ibrahim serta Ketua Unit HEP PMJB, Nurzarimah Jmail.
Untuk rekod, pada awal Mac lalu, sebilangan besar daerah di Johor seperti Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi, Kluang, Segamat dan Johor Bahru telah dilanda musibah banjir. Lebih 40 ribu mangsa banjir terjejas termasuklah pelajar POLYCC Zon Selatan.