
8 Mei 2025, Shah Alam – Kecemerlangan pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus menyerlah apabila dua pelajarnya merangkul Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 masing-masing dalam kategori kebudayaan serta keusahawanan.
Nursyafiqah Mohd Shahrul Anuar, 21, pelajar Semester enam Diploma Kejuruteraan Awam yang juga Naib Pengerusi Kelab Semarak Seni PSA dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi Kategori Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Beliau yang aktif dalam bidang seni tari bukan sahaja menjadi tonggak utama dalam pelbagai persembahan seni di peringkat institusi, malah turut membawa nama PSA ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Zurain Z. Zaharuddin, 22, pelajar Semester 3 Diploma Pemasaran yang juga merupakan Presiden Premier Young Entrepreneur Club PSA diumumkan sebagai penerima bagi Kategori Keusahawanan Politeknik.
Zurain yang dikenali dengan kepimpinan cemerlangnya aktif menggerakkan pelbagai inisiatif keusahawanan di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus membuktikan kemampuan pelajar PSA dalam mencipta impak besar dalam dunia perniagaan sejak di bangku pengajian lagi.
Mengulas kejayaan tersebut, Pengarah PSA Puan Zainah Rujihan berkata, ia adalah hasil dedikasi, usaha berterusan serta sokongan padu daripada semua pihak termasuk pensyarah dan pelajar serta pihak KPT dan JPPKK.
“Kejayaan ini menjadi bukti keberkesanan pendekatan holistik yang diterapkan PSA dalam melahirkan graduan seimbang, berketerampilan dan berdaya saing,” ujar beliau ketika ditemui pada majlis yang diadakan di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor.
“Saya berharap pelajar PSA akan terus melakar kejayaan demi kejayaan bukan sahaja di persada negara malahan di peringkat antarabangsa.”
Dalam majlis yang sama, kumpulan muzik liveband PSA, SONATA, turut mencuri perhatian apabila diberi penghormatan membuat persembahan istimewa sebagai simbol kejayaan mereka menjuarai POLYCC Battle Showdown 2025.
Membawakan enam buah lagu merentas pelbagai genre, persembahan penuh bertenaga dan profesional oleh SONATA bukan sahaja menghiburkan para hadirin, malah memperlihatkan tahap kematangan dan kepelbagaian bakat pelajar dalam bidang seni persembahan.
Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud. Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail serta pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti.