
BANDAR PENAWAR, 28 Februari 2025 – Jenama NEKMOON bagi produk Sambal Biis Rosel (SBR) dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis penuh bermakna di Kolej Komuniti Bandar Penawar (KKBP), hari ini.
Pelancaran itu bersempena Bengkel Pendaftaran Harta Intelek yang dianjurkan dengan kerjasama MyIPO Cawangan Zon Selatan, Politeknik Kolej Komuniti Johor Darul Takzim (POLYCC JDT) serta usahawan tempatan. Bengkel tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 100 peserta, termasuk usahawan di bawah Persatuan Usahawan Johor Berhad (PUJB).
Lebih menarik, bengkel ini turut membuka peluang kepada peserta untuk mendapat tajaan percuma bagi pendaftaran harta intelek menerusi dana MyIPO. Inisiatif ini bukan sahaja membantu usahawan mendaftarkan produk inovasi mereka secara sah, malah turut memberi pendedahan tentang kepentingan perlindungan hak cipta dan jenama dalam industri perniagaan.
Pegawai FAMA Daerah Kota Tinggi, Tuan Ismail Bin Wagiman, dalam ucapannya ketika melancarkan jenama NEKMOON, menegaskan bahawa pendaftaran harta intelek adalah aset penting bagi usahawan tempatan dalam memastikan jenama mereka kekal kompetitif di pasaran.
“Sambutan yang diterima bagi bengkel ini membuktikan kesedaran dalam kalangan usahawan semakin meningkat terhadap kepentingan perlindungan hak harta intelek. Ia adalah langkah penting dalam memperkukuh daya saing produk tempatan agar lebih berdaya maju,” katanya.
Majlis ini juga merupakan satu kejayaan besar buat Jawatankuasa Bengkel Pendaftaran Harta Intelek KKBP serta Unit Penyelidikan Inovasi Komersialan (UPIK) yang berjaya menganjurkan program bermanfaat ini bersama MyIPO.