Peluang pelajar berinovasi! Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar menang Anugerah Pengarah FYPComP@POLIMAS!

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
Lain-Lain

KitaReporters, 7 Jun 2024

Para panel menilai projek pelajar yang menyertai FYPComP@POLIMAS 2024 selama dua hari ini (6-7 Mei 2024) berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS.

Projek Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar Berasaskan Sistem IoT (Internet Pelbagai Benda) telah berjaya memenangi Anugerah Pengarah, Pertandingan Projek Akhir Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.

Pertandingan FYPComP@POLIMAS 2024 berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS selama dua hari pada 6 hingga 7 Mei 2024 lalu.

Projek Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar atau tajuk sebenar iaitu Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar Berasaskan Sistem IoT dengan ESP32 Menggunakan Aplikasi Blynk telah berjaya mengalahkan 136 projek yang disertai 281 pelajar dari pelbagai jabatan di POLIMAS. 

Projek Prototaip Kipas Hud Dapur Pintar Berasaskan Sistem IoT.

Projek ini diinovasikan oleh dua  pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan dari Jabatan Kejuruteraan Awam, POLIMAS, iaitu Muhamad Afiqfarhan Azan Nasution @ Kilat dan Muhammad Hafiz Izrin Jahariman.

Pensyarah Kursus Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Abdul Rahman Huraisen Masri bertindak sebagai penyelia kumpulan yang berjaya ini.

Afiqfarhan ketika ditemui berkata, projek Kipas Hud Dapur Pintar ini dicipta bagi mengesan asap seterusnya dapat menghidupkan kipas hud dapur secara automatik. 

Jelasnya, ia supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya insiden letupan tong gas di bangunan kediaman yang berpunca daripada kebocoran gas yang boleh membawa kepada kecederaan parah, melecur dan kemusnahan harta benda.

Katanya, melalui projek inovasi ini, ia juga dapat mengesan kehadiran gas yang bocor di ruang dapur. 

Tambahnya, projek ini turut menggunakan sistem Blynk yang bertujuan untuk memberikan notifikasi ke telefon pintar pengguna jika wujudnya kehadiran gas di dapur. 

Muhamad Afiqfarhan Azan Nasution (kanan) @ Kilat dan Muhammad Hafiz Izrin Jahariman 

“Sebagai langkah pencegahan awal, kipas hud dapat berfungsi secara automatik bagi mengeluarkan gas daripada bangunan,” katanya.Hafiz Izrin pula berkata, kemenangan ini merupakan satu penghargaan bagi kumpulan mereka dan lebih bersemangat untuk membawa idea ini ke peringkat lebih tinggi. 

“Saya tidak menjangka projek ini akan memenangi Anugerah Pengarah memandangkan saingan yang sengit dalam pertandingan ini,” kata Afiqfarhan.

Pengarah Program, Mohd Syukur Azizan puka berkata, pertandingan ini juga sebagai satu platform yang membolehkan para pelajar mempersembahkan hasil projek akhir mereka kepada panel-panel luar yang terdiri daripada pihak industri. 

Katanya, bakat pelajar dapat diasah pada peringkat awal dalam menghasilkan idea-idea melalui produk inovasi mengikut kreativiti serta projek-projek yang berkualiti.

Tambahnya lagi, program ini merupakan pertandingan yang dianjurkan pada kali ke-2 dengan melibatkan semua jabatan akademik bagi mempersiap diri para pelajar POLIMAS untuk menjadi peneraju TVET apabila memasuki alam pekerjaan nanti selaras dengan kehendak industri.

Muhammad Afiqfarhan bersama Muhammd Hafiz menerima hadiah kemenangan daripada Rosli Idris.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapan Majlis Penutupan FYPComP@POLIMAS 2024 menyifatkan Pertandingan FYPComP sebagai satu platform kepada pelajar-pelajar bersaing secara sihat dalam mengetengahkan idea-idea melalui projek yang dihasilkan.

Katanya lagi, penglibatan pelajar dalam pertandingan sebegini mampu menyuntik semangat kepada pelajar dalam menghasilkan idea-idea yang menarik dan menghasilkan projek yang mempunyai daya inovasi yang tinggi untuk dipersembahkan. 

Katanya,  usaha ini dilihat dan mendapat sokongan daripada pihak industri yang berminat dalam menawarkan peluang untuk mengembangkan idea ini ke peringkat yang lebih tinggi. 

“Kerjasama antara pihak industri ini dilihat dapat membantu dalam memacu pengeluaran dan perkhidmatan serta meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

 Pertandingan FYPComP@POLIMAS 2024 pada kali ini telah menawarkan hadiah berupa wang tunai, plak dan sijil yang disampaikan oleh Rosli kepada para peserta yang memenangi pertandingan ini. 

Hadir sama Pengarah Urusan Northern Coral (M) Sdn. Bhd. selaku Pengerusi Alumni POLIMAS, Datuk Mohd Yuzi Mat Zin. – KitaReporters

Muhammad Afiqfarhan (lima dari kiri) dan Muhammad Hafiz (empat dari kanan) bergambar bersama rakan dengan hadiah kemenangan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti