PEMERKASAAN KEMAHIRAN AI DAN ROBOTIK MELALUI MOBILITI PELAJAR KOREA SELATAN DI POLITEKNIK UNGKU OMAR 

POLITEKNIK UNGKU OMAR
19 August 2024
Aktiviti Pelajar

Ipoh, 17 Ogos 2024 – Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa dari Politeknik Korea Selatan, Kampus Seoul Jongsu ke Politeknik Ungku Omar yang berlangsung dari 13 hingga 16 Ogos 2024 telah membuka kerjasama baharu dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT), dan Robotik, melibatkan pelajar dari kedua-dua institusi.

Ketibaan delegasi Korea Selatan pada 13 Ogos 2024 telah diraikan oleh Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Tuan Haji Mohd Noor bin Shahudin, serta Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah. Program ini juga mendapat sokongan daripada pihak industri, Galaxy Group of Companies.

Menurut Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah, program mobiliti antarabangsa ini menawarkan pendedahan dan latihan praktikal mengenai penggunaan teknologi terkini dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT), dan Robotik melalui perkongsian pengetahuan dan kepakaran dari Politeknik Korea. Pelajar dari kedua-dua negara berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang yang semakin penting ini.

Politeknik Ungku Omar juga menerima 20 kit pembelajaran Robotik dan Internet of Things (IoT) dari Politeknik Korea, Seoul Jongsu Campus. Kit ini bertujuan membantu pelajar PUO dalam meneruskan sesi pembelajaran dan eksplorasi ilmu melalui pendekatan pembelajaran interaktif.

Bengkel ini telah menghasilkan dua projek utama iaitu Projek Implementasi Rumah Pintar menggunakan Teknologi AI dan IoT berdasarkan Peranti Pengkomputeran Fizikal, serta Projek Implementasi Lengan Robotik menggunakan Teknologi AI dan Open-CV.

Sinergi strategik dan perkongsian pintar antara Politeknik Ungku Omar, Politeknik Korea, dan pihak industri memberikan nilai tambah kepada perkembangan pengetahuan dan kemahiran pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran perkembangan teknologi masa kini dan akan datang. Politeknik Ungku Omar sentiasa komited dalam menawarkan program pengajian yang relevan dengan keperluan industri.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti