
JITRA – Pemimpin perlu menjadi ikon pelajar dan bakal pemimpin perlu tunaikan serta jalankan amanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya.
Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Dr. Mhd Azmin Mat Seman, berkata pemimpin pelajar perlulah menyokong sistem yang telah diamalkan di politeknik.
Dr. Mhd Azmin berkata demikian ketika berucap kepada bakal pemimpin pelajar selepas pengumuman keputusan Pilihanraya Kampus POLIMAS 2025 di Dewan Sri Mas, POLIMAS dekat sini baru-baru ini.
“Janganlah memberikan masalah kepada sistem politeknik tetapi pemimpin pelajar seharusnya membantu meningkat imej politeknik dan menjaga kebajikan pelajar,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari, berkata, pilihanraya ini telah berjaya disempurnakan dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 90.61 peratus (%) melibatkan 2,609 orang pelajar.
Menurutnya, kesedaran tentang tanggungjawab pelajar untuk mengundi semakin meningkat.
Menurutnya lagi, pilihanraya ini diadakan untuk memilih wakil untuk Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) POLIMAS melibatkan seramai 54 orang calon bagi menjadi wakil dalam JPP yang terdiri pelbagai jabatan di POLIMAS.
“Calon wanita yang bertanding seramai 24 orang, selainnya didominasi oleh calon lelaki iaitu 30 orang bagi mengisi kekosongan 30 tempat Exco JPP dengan tiga lagi diisi secara lantikan oleh pihak pentadbiran politeknik, ”katanya.
“Proses pengundiannya telah berlangsung di sini bermula jam 8.00 pagi hingga jam 4.00 petang.
“Kali ini, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah mengunakan Sistem E-Pilihanraya bagi memudahkan pengundian dan turut dijalankan secara serentak di seluruh politeknik di Malaysia,”katanya lagi.-SUARA.TV