Penampilan pensyarah: Rahsia kejayaan pelajar dalam kelas

KOLEJ KOMUNITI CHENDEROH PERAK
03 November 2023
RENCANA

Kuasa adalah sejenis daya pengaruh. Dengan menggunakan kuasa yang ada padanya, seseorang itu dapat mempengaruhi sikap, pemikiran dan tingkah laku individu-individu lain. Semakin tinggi kuasa seseorang maka semakin tinggi daya pengaruhnya. Individu-individu yang berjaya mempunyai daya pengaruh yang tinggi.

Pakar-pakar psikologi melaksanakan ujikaji bagi mengetahui tindak balas manusia terhadap pakaian dan penampilan. Kisahnya bermula di sebuah sekolah rendah di England. Seorang guru lelaki yang baru berpindah masuk ke sekolah tersebut telah ditugaskan menjadi guru kelas pelajar-pelajar yang dianggap sederhana dan lemah. Sejak beliau menjadi guru kelas itu, prestasi pelajar-pelajarnya meningkat dan tingkah laku mereka juga berubah menjadi lebih baik. Guru besar memerhatikan cara guru kelas itu mengajar dan mendapati cara beliau mengajar menggunakan cara yang biasa digunakan oleh guru-guru lain. Hasil pemerhatian yang berterusan mendapati terdapat perbezaan pada kasut guru kelas itu yang merupakan dari jenis kulit, hitam, dan bertali. Rupa-rupanya pelajar kelas tersebut bertindak balas kepada kasut guru kelas mereka yang dilihat bergaya dan menarik. Kasut kulit hitam itu terbukti menyebabkan mereka lebih rajin belajar dan lebih tumpuan dalam kelas.

Hasil penemuan ujikaji ini mendapati ianya disahkan bahawa pakaian seseorang boleh meningkatkan dan menjatuhkan daya pengaruh si pemakainya. Dalam hal ini, pensyarah yang mengajar dalam kelas dengan pakaian dan penampilan yang menarik berupaya meningkatkan motivasi pelajar serta mendorong mereka untuk berperangai lebih baik di dalam kelas.

Penampilan pendidik itu sendiri dapat memberi pendidikan secara tidak formal kepada pelajar dalam membentuk nilai diri yang positif serta membantu mereka menjadi insan yang berguna dan berketerampilan. Penampilan yang sentiasa kemas menjadikan pelajar tertarik dan yakin dengan apa yang disampaikan oleh pensyarah mereka.

Kajian pakar-pakar psikologi menunjukkan penampilan, rupa paras, gerak geri dan air muka, sangat besar peranannya bagi meningkatkan daya pengaruh sesorang. Bagi meninggikan daya pengaruh, seseorang itu perlu memastikan orang atau khalayak yang hendak dipengaruhinya menyukai penampilannya kerana penampilan mencerminkan sikap seseorang terhadap orang lain, masa, dan juga terhadap tugas yang dilakukannya.

Stewart (2005), mendefinisikan penampilan sebagai tret-tret perwatakan dan personaliti yang dianggap perlu untuk kejayaan sebagai seorang guru. Berdasarkan kajian-kajian lepas menunjukkan sikap nilai dan kepercayaan guru tentang pelajar membawa kesan kepada pembelajaran dan perkembangan pelajar (Collinson et. Al., 1999).

Dengan menggabungkan penampilan, ilmu, dan komunikasi berkesan yang dipamerkan oleh pensyarah terhadap pelajar  menjadi aspirasi kepada para pelajar untuk berusaha menuju kejayaan dan seterusnya berupaya melahirkan generasi yang lebih bermotivasi tinggi serta nilai moral yang terpuji.

Penulis:

Puan Haizuhailie binti Baharuddin
Pegawai Penerangan
Kolej Komuniti Chenderoh Perak

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti