Cabaran Graduan Dalam Kerjaya Bidang Animasi
Teknologi animasi 3D di Malaysia amat cepat berkembang, seiring dengan perkembangan teknologi, graduan-graduanlepasan IPT dalam bidang animasi yang menjadi animator perlu mempersiapkan diri dengan peningkatan ilmu tentang teknologi animasi 3D dan tidak boleh static dengan kebolehan khusus sahaja. Bidang Animasi adalah ‘teamwork’, perlu bekerjasama dalam satu pasukan dalam menyiapkan sesuatu projek animasi.
Antara cabaran yang biasa dihadapi oleh graduan-graduan lepasan IPT dalam bidang animasi adalah mereka perlu menyesuaikan diri dengan suasana kerja dalam bidang ini di syarikat-syarikat animasi yang kebanyakannya memerlukan pekerja animasi yang berkebolehan dan mempunyai skills yang tinggi dalam bidang animasi 3D ini. Jadi graduan-graduan yang ingin berjaya dalam bidang ini perlu ‘survive’ kerana adakalanya apa yang diajar di IPT tidak mencapai tahap piawaian industri kerana ‘standard’ yang diukur di sesetengah industri sudah semakin tinggi. Pekerja dalam bidang animasi ini akan berjaya jika ada kehendak dan minat yang tinggi dan perlu selalu ‘practice’ di luar masa kerja untuk menjadi animator yang bagus. Pekerjaan dalam bidang ini memerlukan mereka yang sanggup untuk kerja lebih masa dalam menyiapkan kerja-kerja modelling dan animasi yang mempunyai ‘dateline’.
Oleh kerana itu, institusi-institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian dalam bidang animasi seperti Kolej Komuniti dan Politeknik perlu menjalin hubungan yang baik dengan industri animasi yang terdapat dipasaran seperti mengadakan kerjasama dalam perkongsian kepakaran melalui kursus atau bengkel bersama pihak industri, melibatkan pihak industri dalam proses pembinaan kurikulum animasi supaya kandungan kurikulum seiring dengan kehendak industri semasa, perjanjian persefahaman seperti COC ataupun MOU dan juga mengadakan ‘Industry On Campus’ bersama industri di pusat pengajian. Penglibatan industri sebagai pemegang taruh amat penting dalam memberi kemudahan kepada pelajar dalam menghadapi cabaran semasa di dalam bidang ini.
Tarikan Kerjaya Dan Skop Kerja
Apa yang menarik dalam bidang animasi ini adalah perumpamaan seperti semua bidang pekerjaan terdapat dalam bidang ini. Contohnya jika mahu pandai membuat ‘model karektor’ perlu memahami ilmu anatomi seperti seorang doctor, supaya model karektor seperti figura manusia yang dihasilkan lebih tepat dari segi struktur anatominya. Jika hendak membuat proses ‘simulation’ dalam animasi perlu mengetahui ilmu fizik seperti ‘engineer’ dan jika hendai menghasilkan animasi yang berkesan, seseorang animator perlu pandai berlakon untuk menjiwai gaya karektor yang dihasilkan.
Apabila seseorang animator itu hebat dalam pekerjaannya maka pendapatan yang diperolehinya sudah tentulah tinggi. Skop kerja animasi sekarang sudah berubah kearah pengkhususan kerja, contohnya bagi ‘character modeler’, mereka hanya ditugaskan untuk membuat model 3D sahaja menggunakan komputer, bagi animator pula mereka hanya menumpukan kerja-kerja animation sahaja melalui model karektor yang telah dihasilkan oleh ‘modeller’ tadi. Jadi pekerja dalam bidang animasi ini boleh menumpukan perhatian dalam bidang pengkhususan yang diminati dengan fokus. Ini menjadikan tarikan terhadap kerjaya ini serta skop kerja lebih menarik.
Ciri-Ciri Yang Perlu Ada Pada Seorang Pereka Model 3d & Animator
Antara ciri yang paling utama untuk berjaya dalam bidang animasi 3D ini adalah minat, kerana dari minat yang mendalam seseorang itu akan sanggup berusaha untuk mencari ilmu pengetahuan yang baru dalam bidang tersebut. Dari minat ini, animator akan melaksanakan kerja-kerja yang kreatif ini tanpa disuruh dengan seikhlas hati walaupun adakalanya dengan gaji yang tidak setimpal. Tingkahlaku yang baik juga memainkan peranan yang penting untuk berjaya kerana seseorang animator perlu bersikap ‘humble’ dan sanggup untuk belajar perkara perkara baru dalam bidang animasi 3D ini. Seseorang animator juga perlu mempunyai sikap yang rajin, sentiasa praktis ilmu-ilmu animasi ini dan bermuhasabah diri untuk tingkatkan ilmu dan kemahiran. Selain daripada itu, ciri-ciri lain yang perlu ada pada seorang animator adalah komunikasi, kerana apabila bekerja secara berkumpulan, komunikasi yang berkesan amatlah penting dalam melaksanakan sesuatu projek agar tidak hilang fokus dalam menghasilkan animasi yang dikehendaki. Pekerja dalam bidang ini juga perlu mahir dalam penggunaan otak kiri dan otak kanan kerana ianya dapat memainkan peranan penting dalam kerjanya, contohnya penggunaan otak kanan untuk bidang kreatif dan otak kiri untuk menyelesaikan masalah. Pelaburan yang agak tinggi dalam menyediakan kelengkapan komputer dan perisian animasi juga penting dalam menghasilkan animasi yang bermutu tinggi.
Impak Dan Halatuju Animasi Di Malaysia
Di Malaysia, impak dan halatuju bidang animasi kini sudah semakin luas dan berjaya. Kita sudah mempunyai produk-produk animasi tempatan yang berjaya seperti Upin-Ipin, Boboiboy, Ejen Ali, Didi & Friends, Mechamato, Makania, Panglima Hitam, Awang Khenit, Keluang Man dan banyak lagi. Ini membuktikan karya-karya animasi tempatan sudah diterima masyarakat dalam negara serta luar negara. Kerajaan juga banyak membantu industri ini dengan menubuhkan kolej-kolej serta IPT yang mempunyai kursus-kursus animasi seperti Kolej Komuniti dan lain-lain lagi Institusi Pendidikan Tinggi. Syarikat-syarikat animasi di Malaysia ini tumbuh seperti cendawan contohnya Les’Copaque, Monsta Studio, Warnakala Studios, Wau Animation, Inspidea, Animasia, Silver Ant, Creatvtoon Studio dan banyak lagi. Ada di antara syarikat-syarikat ini turut disalurkan dana dan geran untuk terus menghasilkan produk animasi yang bermutu tinggi dan dikenali di dalam dan luar negara. Saya percaya, bidang animasi akan terus berkembang pesat di Malaysia dan dengan teknologi animasi yang semakin maju, ramai pelajar-pelajar animasi yang ada sekarang akan menjana pendapatan yang lumayan dengan bidang kreatif ini.
Ts. Zaihairun bin Zulkifli; Ketua Program Diploma In 3D Animation Technology, Pensyarah Bidang Animasi 3D, Pereka Grafik dan Illustrator Sambilan.