Pendidikan kemahiran peluang untuk pelajar OKU dan autistik berdikari

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
07 March 2024
Komuniti

5 Februari 2024, Shah Alam – Peluang pendidikan seharusnya tidak hanya terbatas kepada mereka yang sempurna tetapi turut meliputi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menurut Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman, politeknik sebagai sebuah institusi penyedia pendidikan tinggi amat optimis dalam memberikan peluang pendidikan kepada golongan berkenaan.

“Ini seiring dengan Halatuju Transformasi Politeknik 2023-2030 iaitu perluasan akses bagi kemasukan ke politeknik untuk manfaat setiap lapisan menyambung pengajian sekali gus meningkatkan sosio ekonomi masyarakat,” ujarnya yang ditemui selepas menghadiri program International Collaboration on Corporate Social Responsibility antara PSA, Universitas Pamulang (UNPAM), Indonesia dan Autism Cafe Project Malaysia (ACP) yang diadakan di Dewan Al Jazari di sini hari ini.

“Di PSA sendiri, terdapat pelajar-pelajar OKU dan autistik. Malah ada di antaranya turut mengambil Sijil Tahfiz Al-Quran JAKIM-Politeknik yang ditawarkan di sini,”

“Ini membuktikan golongan ini mampu melangkah lebih jauh sekiranya diberi peluang dan dibimbing dengan betul.”

Ujarnya lagi, selain program diploma dan ijazah sarjana muda, PSA turut menawarkan program Sijil Penyenggaraan Mekanikal kepada pelajar tamat tingkatan lima yang mempunyai masalah pendengaran.

Program International Collaboration on Corporate Social Responsibility menampilkan remaja autisme dari ACP yang berkebolehan memasak serta turut dibantu oleh para pelajar dan pensyarah PSA dan UNPAM.

Hasil juadah yang disediakan kemudiannya diserahkan kepada 40 orang wakil pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40.

Turut hadir , Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA, Ts. Mohd Firdauz Mhd Radzi, Rektor UNPAM Dr. H.E. Nurzaman, Pengarah Pasca Siswazah UNPAM Dr. Ir. H. Sarwani dan Ketua Jabatan Perdagangan PSA Natasya Mariz Mohamed. 

Sementara itu, Pengurus ACP Mohd Adli Yahya berkata beliau menubuhkan ACP pada tahun 2016 bertujuan melatih anak-anak autisme untuk berdikari dan berupaya menguruskan diri sendiri.

Lebih membanggakan, mereka kini telah mampu menjana pendapatan sendiri melalui produk-produk yang dihasilkan.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti