Seiring dengan peredaran masa, kemajuan teknologi telah tumbuh pada kadar yang amat pesat dan tanpa disedari, peranti-peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer riba, televisyen, pembesar suara dan peranti-peranti lain telah mendominasi kehidupan seharian manusia. Terkini, teknologi tanpa wayar muncul dengan kehebatannya menyebabkan kurangnya pergantungan kepada kord dan kabel yang pernah digunakan untuk sistem penyambungan. Malahan, jika diteliti terhadap aliran semasa, kebanyakan peranti elektronik ini semakin nipis bentuknya dan semakin ringan. Jadi, dari mana datangnya jutaan e-sisa (e-waste) yang meningkat pada setiap tahun ini?
Justeru, e-sisa kini menjadi satu isu global. Menurut Pemantau e-sisa Global 2020, sekitar 53.6 juta tan e-sisa telah dihasilkan pada tahun 2019 dan angka ini dijangkakan akan terus meningkat kepada 65.3 juta tan pada tahun 2025. Permintaan yang tinggi untuk memajukan peranti elektronik telah mengurangkan jangka hayat produk ini dan seterusnya mengakibatkan sejumlah besar peranti elektronik yang ketinggalan zaman dibuang. Lebih banyak peralatan elektronik dihasilkan, maka lebih banyak e-sisa yang perlu dilupuskan atau diuruskan dengan baik. E-sisa berada pada aliran yang berbeza daripada sampah domestik yang dihasilkan seharian.
Sekitar 70 peratus bahan berbahaya terdapat di tapak pelupusan adalah terdiri daripada logam berbahaya yang ada di dalam e-sisa. Bahan kimia dan logam seperti merkuri, kadmium dan plumbum yang membuatkan peranti elektronik berfungsi dengan pantas dan lancar sebenarnya sangat berbahaya jika dimakan atau diserap ke dalam aliran darah. Justeru, apabila e-sisa ini dibawa di tapak pelupusan sampah untuk tujuan pelupusan, bahan kimianya akan meresap ke dalam tanah; memasuki aliran air bawah tanah dan seterusnya menjejaskan kesihatan manusia serta boleh menyebabkan kemorosotan kualiti alam sekitar.
Mencari penyelesaian yang mampan dan mesra alam untuk mengurus e-sisa ini adalah penting untuk mengurangkan kesannya terhadap alam sekitar dan satu pendekatan inovatif yang menarik ialah penggunaan e-sisa ini dalam sektor pembinaan jalan raya.
Bagaimana e-sisa boleh digunakan dalam turapan jalan?
Untuk menyelesaikan masalah e-sisa secara serentak, seperti kata peribahasa “belayar sambil memapan, merapat sambil belayar”, pelbagai penyelidikan telah dilaksanakan bagi menggali potensi untuk menangani isu penting ini. Penggunaan e-sisa ini didalam turapan asfalt, pertamanya dapat menyediakan laluan atau alternatif bagi mengalihkan e-sisa dari tapak pelupusan dan seterusnya mengurangkan risiko alam sekitar yang berkaitan. Kedua, ia memberi peluang untuk meningkatkan prestasi dan kemampanan turapan jalan (atau turapan asfalt) melalui penggabungan bahan alternatif.
Walaupun turapan jalan konvensional ini secara umumnya bergantung kepada agregat (seperti pasir, kerikil dan batu hancur) dan bitumen, penyelidik dan pemain industri masih sedang giat mengkaji kemungkinan untuk menggunakan e-sisa sebagai bahan pengganti di dalam turapan jalan. Kebanyakan bahan yang membentuk komputer, telefon pintar dan peranti elektronik yang lain berasal daripada mineral yang tidak boleh diperbaharui. Jadi penggunaan e-sisa sebagai alternatif kepada bahan konvensional untuk pembinaan jalan raya bukan sahaja akan membantu dalam mengurangkan kos campuran asfalt, tetapi mengurangkan pencemaran alam sekitar, mengurangkan kos tapak pelupusan sampah dan membawa kepada penjimatan yang besar dalam sumber semula jadi. Dengan menggunakan semula e-sisa dalam turapan jalan, penyelesaian pengurusan sisa mungkin terlaksana dan inovasi ini akan membuka jalan untuk infrastruktur jalan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
E-sisa boleh digabungkan dalam dua cara utama sama ada dengan memasukkan hanya ke dalam bitumen atau dengan mengadunnya bersama dengan campuran asfalt. Penggunaan e-sisa dalam campuran asfalt boleh dilakukan dengan proses “bancuhan kering” di mana e-sisa diadun dengan agregat yang dipanaskan sebelum menuang bitumen atau melalui proses “pencampuran basah” di mana e-sisa ini diperkenalkan sebagai bahan pengubahsuai bitumen.
E-sisa sebagai bahan agregat
Beberapa kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa e-sisa boleh digunakan dalam campuran asfalt dan didapati bahawa penambahan e-sisa ini telah meningkatkan prestasi turapan jalan. Sebagai contoh, pengunaan papan litar bercetak elektronik di dalam bentuk serbuk sebagai pengganti agregat halus dan bahan pengisi dilihat berpotensi meningkatkan kekuatan campuran asfalt berbanding dengan sampel kawalan. Tambahan, ia juga dapat membantu penurunan kos melalui penggantian sebahagian daripada bahan campuran bitumen.
Selain itu, kajian juga dijalankan terhadap plastik PC-ABS (polycarbonate-acrylonitrile butadiene styrene) yang biasanya digunakan untuk menyaluti laptop atau komputer sebagai gantian agregat dalam campuran asfalt. Hasilnya penggantian agregat oleh plastik PC-ABS ini menghasilkan nilai kekukuhan yang lebih tinggi dan membantu meningkatkan rintangan terhadap kerosakan turapan jalan.
Walau bagaimanapun penggunaan e-sisa secara meluas sebagai agregat dalam pembinaan jalan raya masih belum lagi menjadi amalan biasa kerana agregat yang digunakan dalam asfalt mesti mempunyai sifat khusus seperti kekerasan, ketahanan, dan ketahanan terhadap kehausan dan kelusuhan. Bahan buangan elektronik sebaliknya, mempunyai komposisi dan sifat fizikal yang berbeza-beza, yang mungkin tidak sejajar dengan fungsi agregat dalam turapan asfalt. Mencapai komposisi bahan yang konsisten dan sesuai daripada e-sisa untuk pengeluaran asfalt adalah mencabar.
E-sisa sebagai bahan pengubahsuai bitumen
Para penyelidik juga telah meneroka penggunaan plastik PC-ABS dari sumber e-sisa sebagai pengubah yang berpotensi untuk bitumen. Sumber e-sisa yang digunakan adalah daripada papan kekunci komputer dan telefon bimbit. Bahan ini dikumpul dan diasingkan serta dipastikan tidak mengandungi bahan seperti tembaga, plumbum, litium dan aluminium. Campuran tersebut didapati telah menambahkan kemuluran serta kelikatan bitumen. Peningkatan ciri-ciri ini akan membantu turapan asfalt dalam menanggung beban kenderaan dan meningkatkan hayat perkhidmatan turapan jalan.
Kajian baru-baru ini juga turut memfokuskan kepada penggunaan plastik ABS dan HIPS (high impact polystyrene) yang terkandung dalam e-sisa sebagai bahan pengubahsuai bitumen. Keputusan menunjukkan bahawa bitumen terubahsuai e-sisa mempamerkan prestasi suhu tinggi yang sama dengan bitumen konvensional.
Selain itu, penambahan bahan ini memberikan nilai kekukuhan yang lebih baik pada suhu rendah berbanding dengan sampel kawalan. Berdasarkan kajian ini, potensi e-sisa sebagai bahan pengubahsuai bitumen dalam campuran asfalt mungkin boleh dicapai.
Kelebihan penggunaan e-sisa
Pelbagai manfaat yang ketara boleh didapati daripada sistem kitar semula yang betul, seperti yang telah dilaksanakan oleh beberapa penyelidik ini yang telah menukarkan e-sisa kepada bahan bermanfaat dalam turapan jalan. Ia bukan sahaja menjadikan alam sekitar lebih baik, malah masyarakat juga dilindungi daripada bahaya kesihatan yang datang daripada bahan buangan ini dan kebaikan mengitar semula bahan ini tidak terhenti kepada manfaat ini sahaja bahkan kepada perkara berikut:
Walaupun secara keseluruhannya kitar semula sisa elektronik adalah perkara yang baik untuk alam sekitar, tetapi terdapat juga perkara yang menjadi cabaran dalam pelaksanaan dan penggunaanya. Sebagai permulaan, sejauh mana anda tahu dan sedar bahawa peranti elektronik yang tersadai di rumah anda boleh diguna semula dan tahukah anda di manakah fasiliti pelupusan e-sisa yang berhampiran anda?
Cabaran penggunaan e-sisa
Kitar semula e-sisa adalah satu isu yang rumit dan kitar semula tidak selalu membawa kesan positif. Kitar semula e-sisa ini biasanya menelan kos yang tinggi dan memakan masa dan masih banyak negara yang belum mempunyai kesedaran untuk mengurusnya dengan betul. Jadi untuk menggunakan e-sisa ini sebagai bahan tambah secara besar-besaran di dalam campuran asfalt, perkara berikut perlu diambil perhatian:
Apa tugas kita?
Teknologi akan terus berkembang dan jumlah sisa elektronik yang terhasil dijangka akan terus meningkat. Penggunaan e-sisa dalam turapan jalan menawarkan penyelesaian yang mampan untuk menangani masalah sisa elektronik yang semakin meningkat dan dalam masa yang sama kehadiran e-sisa ini dilihat dapat membantu dalam meningkatkan kualiti dan prestasi jalan raya. Kajian telah menunjukkan bahawa bahan tambahan e-sisa boleh meningkatkan kerentanan suhu, kekakuan dan prestasi keseluruhan campuran asfalt.
Penggunaan e-sisa ini ke dalam campuran asfalt, mampu mengurangkan sisa elektronik yang sukar dilupuskan serta menyumbang kepada infrastruktur yang lebih hijau dan berdaya tahan. Walau bagaimana pun, cabaran seperti penilaian dari segi kos dan kesan ekonomi tentang penggunaan bahan ini serta pematuhan kepada garis panduan pengurusan e-sisa perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memudahkan pelaksanaan penggunaan e-sisa ini didalam turapan asfalt secara meluas.
Amalan pengurusan sisa yang berkesan dan penyertaan masyarakat awam juga adalah penting untuk kejayaan pelaksanaan pendekatan mesra alam ini. Bersama-sama, kita boleh bergerak ke arah amalan pembinaan jalan raya yang lebih mampan dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.
Penulis :
Puan Intan Maisarah Osman
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
Dr. Ahmad Yusri Mohamad
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang
Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)