Penggunaan Turapan Asfalt Terpulih Guna dalam pembinaan jalan raya

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
30 August 2023
RENCANA

Pembinaan jalan raya merupakan salah satu aspek penting dalam pembangunan infrastuktur sesebuah negara. Ianya merupakan asas kepada kemudahan pengangkutan yang berkesan dan berkualiti. Jaringan jalan raya yang baik dan pembinaan yang berkualiti adalah petunjuk kepada kemajuan sesebuah negara serta memberi manfaat kepada penduduk dalam pelbagai aspek kehidupan.

Sejajar dengan aliran global yang menggalakkan penggunaan bahan kitar semula, industri pembinaan jalan raya di Malaysia juga mengamalkan pendekatan ini dengan menggunakan bahan kitar semula dalam pembinaan turapan. Salah satu contoh yang semakin meluas adalah penggunaan turapan asfalt terpulih guna (RAP) dalam pembinaan turapan. Kebiasaannya pembinaan jalan raya akan menggunakan bahan asfalt baru, tetapi kajian menunjukkan bahawa asfalt sedia ada boleh digunakan semula untuk membina lapisan jalan baru dan proses ini dikenali sebagai RAP.

RAP telah menjadi pilihan yang semakin popular dalam pembinaan jalan raya kerana ia memberi impak positif yang signifikan kepada alam sekitar. Dengan mengitar semula asfalt sedia ada, penggunaanya boleh mengurangkan sisa dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber alam semula jadi baru. Ini sekaligus akan membantu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan menggalakkan pemeliharaan sumber asli.

Kajian mengenai kelebihan penggunaan RAP juga semakin banyak diterbitkan termasuk perbincangan mengenai cabaran penggunaan bahan kitar semula tersebut dalam pembinaan jalan raya. Campuran RAP mampu menghasilkan asfalt baru yang setara atau lebih baik daripada asfalt sebelumnya jika dibuat mengikut kaedah yang betul. Kajian-kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa terdapat banyak kelebihan dan manfaat yang dapat diperoleh melalui penggunaan RAP. Pada masa yang sama, terdapat juga cabaran tertentu yang perlu dihadapi dalam penggunaan RAP dan kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi cabaran tersebut serta cara untuk menggalakkan penggunaan RAP.

Menurut Pentadbiran Lebuhraya Persekutuan (FHWA), bahan yang digunakan untuk membina jalan raya asal boleh diguna semula untuk tujuan membaikpulih, membina semula atau penyelenggaraan jalan. FHWA juga telah menetapkan objektif berikut sebagai langkah menggalakkan penggunaan RAP dalam pembinaan jalan raya:

  • Penggunaan RAP mempunyai banyak faedah kepada alam sekitar
  • Penggunaan bahan kitar semula dalam pembinaan jalan raya memberikan faedah ekonomi dan mampu meningkatkan prestasi turapan.

RAP adalah merujuk kepada penggunaan semula asfalt yang telah digunakan sebelumnya dalam pembinaan jalan raya. Konsep ini menggalakkan proses kitar semula yang memberi manfaat positif kepada alam sekitar dan mengurangkan pembaziran pembuangan asfalt yang sudah tidak boleh digunakan dengan kaedah guna semula bahan tersebut ke dalam campuran asfalt baru. Apa yang kita lakukan dalam RAP adalah kita mengambil asfalt lama yang digunakan dalam jalan yang rosak atau sudah tidak diperlukan lagi. Kemudian, asfalt ini diproses semula untuk digunakan dalam membina lapisan jalan baharu.

Apakah Kelebihan Penggunaan RAP?

1. Mesra Alam Sekitar

Manfaat utama penggunaan RAP adalah impak positifnya kepada alam sekitar. Apabila menggunakan semula asfalt yang sedia ada, kebergantungan terhadap penggunaan asfalt baru dapat dikurangkan. Ia membantu dalam menjimatkan sumber semulajadi yang berharga seperti agregat dan minyak mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran asfalt baru. Dengan cara ini, secara tidak langsung ianya juga turut menyumbang dalam pengurangan kemerosotan ekosistem dan kehilangan habitat hidupan liar akibat penerokaan sumber semulajadi.

Selain itu, penggunaan RAP juga membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon yang dihasilkan semasa proses pengeluaran asfalt baru. Pengeluaran asfalt baru memerlukan penggunaan tenaga yang besar dan menghasilkan emisi karbon yang berbahaya kepada alam sekitar. Dengan menggunakan RAP, jumlah tenaga yang diperlukan dalam pengeluaran asfalt dapat dikurangkan, serta emisi karbon juga dapat dikurangkan. Ini membantu dalam meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan menggalakkan amalan pembinaan yang lebih lestari.

2. Pengurangan sisa penggunaan

RAP juga dapat mengelakkan pembaziran dengan mengurangkan jumlah sisa asfalt untuk dilupuskan ke tapak pelupusan. Sebagai alternatif kepada pelupusan bahan asfalt sedia ada, kita boleh menggunakannya semula dengan cara yang lebih berkesan. Dengan cara ini juga ianya dapat membantu mengurangkan beban kepada negara dalam hal pelupusan sisa-sisa tersebut.

3. Pengurangan kos

Penggunaan RAP dapat membantu mengurangkan kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya kerana ia mengurangkan keperluan untuk membeli asfalt baru dan juga turut mengurangkan kos pelupusan sisa asfalt lama. RAP merupakan sumber bahan pembinaan yang murah kerana ia adalah hasil daripada penggunaan semula bahan sedia ada.

4. Manfaat ekonomi

Penggunaan RAP membantu memberi manfaat ekonomi kepada negara dari segi penjimatan kos dan membolehkan peruntukan yang ada digunakan untuk membaikpulih dan menyelenggara lebih banyak jalan atau pembangunan projek infrastruktur lain yang lebih diperlukan.

Apakah Manfaat Pengunaan RAP kepada Prestasi Turapan?

1. Meningkatkan kekuatan dan ketahanan

RAP menyumbang secara positif kepada kekuatan dan ketahanan turapan jalan raya. Kajian menunjukkan bahawa lapisan dasar yang mengandungi RAP mempunyai kekuatan lagi tinggi berbanding yang mengandungi agregat secara konvensional. Ini menunjukkan RAP menyumbang dalam meningkatkan kekuatan turapan dengan meningkatkan ketahanan lapisan dasar. Penggunaanya juga akan turut meningkatkan jangka hayat jalan dan berdaya tahan untuk beban lalu lintas yang tinggi.

2. Mengurangkan retak dan kerosakan

RAP mempunyai sifat pengikatan yang baik, yang membantu mengurangkan retakan dan kerosakan turapan jalan. Dengan menggabungkan RAP ke dalam campuran asfalt, ia dapat meminimumkan risiko kerosakan struktur akibat perubahan suhu dan beban lalu lintas. Kajian menunjukkan RAP mempunyai kebolehsuaian kepada pelbagai keadaan iklim dan lalu lintas berbeza.

3. Meningkatkan kawalan saliran dan air

RAP mempunyai tekstur kasar yang meningkatkan pengaliran air dan kawalan air pada turapan jalan. Ini sangat penting dalam mengurangkan risiko air bergenang dan meningkatkan ketahanan terhadap keadaan cuaca yang ekstrem, dengan meminimumkan risiko kerosakan yang berkaitan dengan air seperti penguraian asfalt, pembentukan retak, dan pengurangan kekuatan struktur jalan. Kelebihan ini memberikan manfaat jangka panjang dalam memastikan jalan raya yang selamat dan berfungsi dengan baik dalam pelbagai keadaan cuaca dan peningkatan aliran air.

Apakah Cabaran Penggunaan RAP?

1. Kekurangan sumber RAP berkualiti tinggi

Salah satu cabaran utama adalah pembekalan RAP berkualiti tinggi yang memenuhi piawaian yang ditetapkan. Ini boleh menyebabkan kekurangan dalam penggunaan RAP dalam projek pembinaan. Penyediaan RAP yang berkualiti tinggi kebiasaannya dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti berikut;

  • Variabiliti Bahan: RAP terdiri daripada turapan asfalt lama yang telah mengalami luluhawa dan degradasi. Sifat bahan ini mempengaruhi dalam memastikan penghasilan campuran asfalt yang konsisten dan berkualiti.
  • Kesan Penuaan: Asfalt yang telah menua boleh mempengaruhi dan mengakibatkan kelemahan dalam prestasi campuran asfalt. Oleh itu, kaedah yang betul perlu digunakan untuk mengurangkan kesan penuaan ini dan memastikan campuran asfalt dapat memenuhi prestasi yang ditetapkan.
  • Nisbah Campuran: Menentukan kadar dan kuantiti RAP yang sesuai adalah penting bagi memastikan campuran asfalt baru adalah memenuhi spesifikasi dan mencapai tahap prestasi yang ditetapkan.

2. Keperluan teknologi pemprosesan yang maju

Proses penyediaan RAP yang kompleks memerlukan pemahaman yang mendalam tentang sifat-sifat bahan RAP dan penggunaan kaedah yang sesuai. Oleh itu, penyelidikan dan pembangunan berterusan terhadap teknologi dan kaedah yang lebih maju diperlukan untuk mengendalikan variabiliti bahan, kesan penuaan, dan mengoptimalkan nisbah campuran bagi penggunaan RAP. Campuran RAP mampu menghasilkan asfalt baru yang setara atau lebih baik daripada asfalt sebelumnya jika dilakukan dengan kaedah yang betul. Pengoptimuman campuran antara RAP dan bahan baru perlu dilakukan untuk mencapai prestasi dan ketahanan jalan yang diinginkan.

3. Pengetahuan yang terhad di kalangan profesional industri

Penggunaan RAP mungkin bukan perkara baru dalam industri pembinaan jalan raya, namun masih terdapat kekurangan kesedaran dan pengetahuan yang mencukupi dalam kalangan profesional dalam industri mengenai penggunaan RAP. Selain memberi kelebihan dari segi teknikal, penggunaan RAP juga berpotensi tinggi untuk memberi impak yang besar kepada alam sekitar dan kelestarian pembangunan

Apakah Cara untuk mengatasi Cabaran Penggunaan RAP?

1. Peningkatan kualiti dan pemprosesan RAP

Penyelidikan dan pembangunan dalam pemprosesan RAP perlu diberi keutamaan dalam usaha untuk untuk terus memperbaiki dan meningkatkan kualiti RAP. Ini termasuk pemilihan nisbah campuran yang sesuai dan penggunaan kaedah yang betul untuk mencapai hasil yang optimum.

2. Pendidikan dan latihan

Penyediaan latihan dan pendidikan yang berterusan kepada profesional dalam industri pembinaan jalan raya tentang kepentingan serta teknik dan kaedah penggunaan RAP yang betul adalah penting. Ini akan membantu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka terhadap kelebihan dan kepentingan menggunakan RAP dalam amalan pembinaan lestari.

Apakah Cara untuk Menggalakkan Penggunaan RAP?

1. Dasar dan sokongan kerajaan

Kerajaan dan agensi berkaitan boleh memperkenalkan dasar dan peraturan untuk menggalakkan penggunaan RAP. Penggunaan RAP amat jelas boleh memberi faedah kepada Kerajaan dari segi ekonomi selain memberi manfaat positif kepada alam sekitar.

2. Insentif Ekonomi kepada Syarikat dan Kontraktor

Insentif ekonomi boleh dicadangkan untuk diberikan kepada syarikat dan kontraktor yang mengamalkan penggunaan RAP dalam pembinaan jalan raya seperti pengecuali cukai atau pun penyediaan subsidi.

3. Menerapkan program pameran dan perkongsian amalan terbaik

Sejajar dengan tren global yang menggalakkan penggunaan bahan kitar semula, penerapan dalam bentuk program pameran dan perkongsian amalan terbaik kepada orang awam khususnya merupakan pendekatan yang baik dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pembinaan pembangunan yang lestari.

Kesimpulan

Dalam industri pembinaan jalan, salah satu cara untuk menyumbang dan menyokong penggunaan bahan kitar semula dalam amalan pembinaan adalah dengan menggunakan RAP sebagai alternatif kepada pembinaan jalan raya untuk tidak menggunakan bahan baru tetapi mengguna semula bahan sedia ada. Ianya merupakan penyelesaian mampan yang boleh menangani isu semasa kemerosotan alam sekitar seperti penerokaan kawasan kuari untuk mendapatkan sumber agregat serta masalah penyimpanan dan pelupusan sisa bahan buangan.

Dari segi teknikal, penggunaan RAP boleh meningkatkan prestasi dengan memberi lebih kekuatan dan ketahanan turapan jalan raya. FHWA turut menggalakkan penggunaan semula bahan pembinaan jalan raya untuk tujuan membaikpulih, membina semula atau penyelenggaraan jalan. Selain memberikan kesan positif dalam prestasi turapan, perkara yang paling penting dalam penggunaan RAP adalah sumbangannya terhadap kelestarian alam sekitar. Penggunaan RAP ternyata menggalakkan penggunakan bahan kitar semula dan membantu dalam mengurangkan kesan pelepasan karbon dalam usaha untuk meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Tambahan, penggunaan RAP dapat membantu mengurangkan kos pembinaan.

Sejajar dengan kelebihan RAP yang menggalakkan penggunaan bahan kitar semula, kerajaan seharusnya boleh memberi perhatian yang lebih kepada pentingnya menyediakan platform penyelidikan dan pembangunan bagi pemprosesan RAP berkualiti tinggi. Dasar dan sokongan daripada kerajaan akan membantu dalam mempromosikan kepentingan penggunaan bahan RAP dalam amalan pembinaan jalan raya di Malaysia.

Penulis :

Aisyah Sakina Binti Ahmad
Penolong Pengarah Kanan
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia

Dr. Ahmad Yusri Mohamad
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS)

Ts. Ir. Dr. Muhamad Razuhanafi Mat Yazid
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti