Penghasilan patung ‘sue bonnet’ terbanyak diiktiraf Malaysia Book of Records

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
15 July 2024
Umum

Shah Alam, 5 Julai 2024 – Sebanyak 56,436 patung Sue Bonnet berjaya dihasilkan sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai patung Sue Bonnet paling banyak dihasilkan dalam satu program.

Patung yang dibuat daripada penutup botol dan pakaian terpakai serta kain perca itu dihasilkan oleh ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) cawangan Selangor yang terdiri daripada ahli Kelip-kelip, Tunas, Remaja, Renjer, Klover serta pemimpin PPPM.

Pengerusi Projek Saadiah Yusof berkata, projek yang bermula sejak Februari itu adalah selaras dengan silibus PPPM yang menerapkan matlamat pembangunan mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).

“Kita menyahut seruan dan mengambil tindakan dalam usaha melindungi alam sekitar melalui projek ini dengan mengitar semula penutup botol plastik yang dijadikan topi Sue Bonnet Dolls ini,”

“Walaupun nampak kecil sahaja, namun kami telah membuktikan bahawa lebih 56,000 penutup botol minuman telah diselamatkan daripada tempat pembuangan sampah bagi mengurangkan pencemaran plastik terhadap alam sekitar kita,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pengiktirafan “The Most Sue Bonnet Dolls Made in a Programme yang diadakan di Dewan Al Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua PPPM Cawangan Selangor Puan Sri Datin Aisha Shamsuddin.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Cawangan PPPM Cawangan Selangor Aisah Ibrahim, Timbalan Pengarah Akademik PSA Dr. Ahmad Aftas Azman dan Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Sementara itu, Dr. Ahmad Aftas berkata, sejak April 2024 para pelajar dan pensyarah PSA yang merupakan ahli dan pemimpin PPPM mula mengumpul penutup botol dan menghasilkan patung tersebut secara berfasa.

“Alhamdulillah PSA berjaya menghasilkan hampir 2,500 Sue Bonnet dan kami berhasrat untuk mengedarkan Sue Bonnet ini kepada kanak-kanak yang ditempatkan di wad pediatrik di hospital-hospital yang berdekatan dan kepada pengunjung yang menghadiri Karnival Pendidikan Kerjaya Murid (SUKSES) yang akan diadakan di PSA pada 9 hingga 11 Julai ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti