Pengurusan Air Ribut Dalam Sistem Pengangkutan

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
07 March 2024
RENCANA

Pelepasan air ribut daripada kemudahan pengangkutan boleh menyumbang kepada banjir dan menjejaskan kualiti air di bahagian hilir. Pembinaan permukaan kalis air seperti turapan mengubah hubungan antara hujan dan air larian, di mana permukaan sedemikian juga berfungsi sebagai sumber untuk pelbagai bahan cemar. Hujan yang menimpa permukaan keras seperti turapan jalan raya dan medan letak kereta tidak dapat menyerap masuk ke dalam tanah. Sebaliknya ia mengalir di atas permukaan ini sehingga ia masuk ke dalam saliran atau longkang, anak sungai atau sungai tempatan. Air yang mengalir ini dikenali sebagai larian curahan hujan. Walaupun larian curahan hujan boleh tercemar di mana sahaja yang terdapat permukaan tidak telap air, lebuh raya dan jalan raya adalah dua sumber pencemaran utama larian curahan hujan.

Selain itu, jumlah tinggi air hujan dapat memburukkan banjir setempat, mengancam kesihatan dan keselamatan awam. Banjir adalah antara bencana alam yang paling kerap berlaku di negara ini dan mempunyai implikasi kewangan yang sangat besar. Ia menyebabkan kegawatan dalam aktiviti harian dan ekonomi, kerosakan jalan raya dan landasan keretapi, kerosakan kenderaan dan harta benda, serta kehilangan nyawa. Negara kita terletak di kawasan tropika dan menerima sejumlah besar hujan dengan purata hujan tahunan 2500 mm di Semenanjung Malaysia dan 3500 mm di Sabah dan Sarawak. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk memperbaiki jalan raya yang rosak disebabkan banjir.

Sementara itu, air larian dari kawasan berturap selalunya mengandungi pelbagai bahan cemar. Antara yang lebih penting ialah zarah; logam seperti plumbum, kuprum, dan zink; hidrokarbon, nutrien dan bakteria. Sumber utama bahan cemar ini termasuk bahan api yang tertumpah, kehausan turapan, habuk atmosfera, kehausan tayar dan bahagian kenderaan yang lain, najis daripada haiwan seperti lembu, dan baja dan racun perosak yang digunakan untuk penyelenggaraan jalan raya. Di kawasan yang beriklim sejuk contohnya, garam digunakan untuk mencairkan salji dan ianya mengandungi natrium, magnesium, dan klorida.

Dalam kebanyakan kes, air larian dari jalan raya dan kemudahan pengangkutan lain tidak tercemar dengan teruk, dan kebanyakan bahan cemar agak mudah disingkirkan. Kemudahan pengangkutan sememangnya berada di bawah peraturan peraturan kualiti air oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), walau bagaimanapun, dan terdapat juga potensi pencemaran serius akibat tumpahan hidrokarbon atau bahan berbahaya.

Oleh kerana kewujudan kawasan berturap yang besar adalah kebimbangan utama untuk kawalan kualiti air dan banjir, pengurusan air ribut berkemungkinan besar penting untuk kemudahan seperti tempat letak kereta dan apron lapangan terbang. Kemudahan berturap lain, seperti jalan raya dan landasan kapal terbang adalah kurang kritikal tetapi masih penting.

Dasar kawalan banjir secara amnya adalah perkara yang menjadi perhatian penduduk tempatan, dan biasanya dikawal oleh penguasa tempatan. Di samping itu, agensi pengangkutan mungkin tertakluk kepada litigasi jika kerosakan berpunca daripada pelepasan yang diperhebat atau banjir di hulu. Kualiti air, sebaliknya, dikawal oleh peraturan EPA yang dikeluarkan di bawah Akta Air Bersih. Seksyen 405 Akta Air Bersih 1987 mengandungi peraturan yang berkaitan secara langsung dengan pengurusan air ribut. Peraturan yang diterima pakai ini melibatkan perancangan pengurusan kualiti air untuk pelbagai aktiviti, termasuk pembinaan dan pengendalian kemudahan pengangkutan. Sistem pengangkutan mungkin memerlukan permit secara langsung sebagai “aktiviti perindustrian” atau secara tidak langsung, sebagai sebahagian daripada sistem pengurusan kualiti air tempatan yang lebih komprehensif. 

Strategi keseluruhan untuk mengurangkan kesan kuantiti dan kualiti air sistem pengangkutan adalah untuk meningkatkan penahanan air ribut. Ini akan memperlahankan larian, dengan itu ia dapat mengurangkan keamatan puncak, dan memberikan masa untuk bahan cemar untuk mendap atau disingkirkan oleh proses lain. Terdapat perbezaan ketara dalam kriteria reka bentuk dari sistem pengurusan air ribut, walau bagaimanapun ianya bergantung terhadap tujuannya, sama ada untuk mengawal kualiti air atau kuantiti air. Struktur tahanan yang direka terutamanya untuk kawalan banjir biasanya akan berdasarkan ribut yang lebih besar daripada yang direka untuk pengurusan kualiti air.

Untuk kawalan banjir, selang berulang untuk ribut reka bentuk biasanya sepuluh tahun atau lebih; sistem pengurusan kualiti air, sebaliknya, direka untuk menahan ribut “siraman pertama”, yang mengandungi kebanyakan bahan cemar. Dalam kebanyakan kes, sistem sedemikian direka bentuk untuk ribut setahun atau dua tahun.

Salah satu projek inovatif yang dilaksanakan kerajaan bagi menyelesaikan masalah banjir ialah pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART). Objektif utama pembinaan terowong ini adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan mengurangkan kesesakan jalan raya di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu pada waktu puncak. Kerajaan telah membelanjakan sekitar RM2 bilion (USD515 juta) untuk membina terowong sepanjang 7.9 km ini. Baru-baru ini, bandar berkepadatan tinggi seperti Shah Alam juga dikhabarkan bakal dilengkapi dengan terowong seperti terowong SMART yang telah dibina di ibu negara. Ini sebagai langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan tersebut. Namun projek mega seperti ini pastinya memerlukan kos dan perbelanjaan yang agak tinggi.

Oleh itu, kebanyakan kerajaan tempatan kini beralih kepada mengguna pakai amalan infrastruktur hijau berkesan, kos yang efektif dan merawat air hujan di tempat ia turun di samping memperoleh manfaat lain seperti pengurangan kesan pulau haba bandar dan banjir. Sesetengah kemudahan yang biasanya digunakan untuk pengurusan air hujan ialah besen tahanan, parit penyusupan, turapan berliang, jalur turas tumbuh-tumbuhan, alur rumput dan tanah bencah.

Besen tahanan adalah terdiri daripada lekukan yang kering kecuali ketika peristiwa hujan (kolam kering) atau kolam kekal (kolam basah). Walaupun kedua-dua jenis besen ini adalah berkesan untuk kawalan banjir, kolam basah dapat menyingkirkan bahan kontaminasi dengan lebih berkesan.

Parit penyusupan ialah parit berisi batu yang membolehkan air hujan memenuhi lowong batu dan kemudian menyusup ke dalam tanah di sekelilingnya. Parit ini mempunyai kapasiti simpanan yang agak kecil dan dengan itu tidak berkesan dalam kawalan banjir. Namun, ia adalah agak berkesan untuk pengurusan kualiti air.

Turapan berliang terdiri daripada lapisan asfalt bergred terbuka di atas lapisan dasar agregat lebih besar yang berfungsi sebagai reservoir untuk menahan air hujan. Dari segi konsep, turapan berliang hampir serupa dengan lapisan permukaan asfalt gred terbuka di atas lapisan saliran dasar. Walau bagaimanapun, berbeza daripada reka bentuk turapan dasar boleh telap, ia tidak dibina untuk menyingkirkan air dengan cepat melalui saliran bawah. Oleh sebab ketahanan turapan seperti ini dalam kegunaan berat diragui, ia biasanya hanya digunakan untuk medan letak kereta.

Jalur turas tumbuh-tumbuhan ialah jalur tanah yang diliputi rumput atau tumbuh-tumbuhan lain.  Air tersebar dengan sekata di sepanjang jalur melalui parit konkrit atau tanah yang terdapat di sepanjang kontur dan boleh mengalir merentasinya. Jalur seperti ni tidak dapat menahan sejumlah besar air, tetapi ia adalah agak berkesan dalam menyingkirkan bahan kontaminan, khususnya zarahan. Oleh itu, jalur turas tumbuh-tumbuhan sering digunakan bersama dengan parit penyusupan kerana ia dapat mencegah penyumbatan parit.

Alur rumput ialah parit berumput cetek yang sering digunakan dalam saliran jalan. Di kebanyakan kawasan di luar negara, alur rumput adalah parit saliran standard untuk lebuh raya luar bandar dan median jalan. Alur rumput biasanya direka bentuk untuk halaju yang terlalu tinggi untuk membolehkannya menyingkirkan bahan kontaminan dengan berkesan. Namun, jika halaju dikurangkan, sebagai contoh melalui pembinaan empangan penyekat, ia boleh berfungsi sebagai jalur turas tumbuh-tumbuhan.

Tanah bencah (Wetland). Penggunaan tanah bencah semula jadi atau buatan kadangkala dicadangkan untuk pengurusan kualiti air. Ia adalah khususnya berkesan untuk menyingkirkan nutrien daripada air hujan melalui pengambilan biologi; ia juga membenarkan pengenapan zarahan dan bahan kontaminan lain. Walau bagaimanapun, tahan bencah harus digunakan dengan berhati-hati kerana penggunaannya untuk pengurusan kualiti air mungkin mempunyai kesan mudarat ke atas tanah bencah itu sendiri. Tasik Bera adalah salah satu contoh salah sistem tasik air tawar semula jadi manakala Putrajaya Wetland ialah tanah bencah buatan manusia yang terdapat di negara kita. Istimewanya, Putrajaya Wetland ini adalah tanah bencah air tawah buatan manusia yang berbesar di Malaysia dan Tropika.

Objektif utama dalam reka bentuk terperinci sistem pengurusan air ribut untuk kawalan banjir adalah untuk mengawal keamatan dan masa pelepasan puncak. Dalam kes sistem yang direka untuk pengurusan kualiti air, ia adalah untuk menyediakan masa penahanan yang mencukupi untuk membolehkan pelbagai mekanisma fizikal, biologi dan kimia yang boleh menghilangkan bahan pencemar. Ini termasuklah mendapan, pereputan kimia, pengambilan biologi, penjerapan, dan pelbagai proses fizikal, kimia dan biologi yang berlaku semasa penyusupan melalui tanah.

Kekangan dalam sistem pengurusan air hujan termasuk kebimbangan tentang kesan ke atas air tanah apabila penyusupan digunakan. Turut menjadi kebimbangan ialah kesan ke atas tanah bencah apabila ia digunakan sebagai pengurusan kualiti air. Secara khusus, air tercemar mungkin mempunyai kesan mudarat ke atas tanah bencah semula jadi sedia ada jika ia digunakan sebagai sebahagian sistem pengurusan kualiti air, dan kesan mudarat ini mungkin mengatasi sebarang manfaat kualiti air hiliran. Selain itu, bagi tanah bencah buatan, kehadiran bahan kontaminan mungkin mempunyai kesan mudarat ke atas hidupan liar. Dalam keadaan ini, penciptaan tanah bencah mungkin menarik hidupan liar ke persekitaran berbahaya.

Selain berfungsi untuk menguruskan air hujan, kesemua kaedah ini juga dikatakan mampu untuk mengurangkan kesan pulau haba bandar, mengurangkan banjir, dan juga menyediakan manfaat lain kepada masyarakat setempat.

 

Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam

Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang, Malaysia

Ts. Ir. Dr. Muhamad Razuhanafi Mat Yazid

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor, Malaysia

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor, Malaysia

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti