Pengurusan mampan melalui penggunaan Bahan Buangan

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
13 July 2023
RENCANA

Pengurusan mampan ditakrifkan sebagai suatu corak penggunaan sumber berkesan yang perlu dilaksanakan dengan baik selaras dengan keperluan manusia. Ini bagi memastikan keadaan persekitaran dipelihara bukan hanya untuk keadaan zaman semasa tetapi juga untuk generasi masa depan.

Memulihara bahan semulajadi dan mengguna semula bahan buangan sebagai bahan kitar semula adalah merupakan salah satu cara dalam mencapai ke arah pengurusan mampan. Bahan buangan adalah merupakan hasil bahan sampingan yang terdiri daripada sisa perindustrian, komersial dan hasil aktiviti perobohan dan pemusnahan bangunan dimana bahan-bahan ini terdiri daripada bahan yang sudah tidak bernilai lagi.

Perlaksanaan dan pengurusan yang efektif diperlukan dalam mengguna semula bahan buangan sebagai bahan yang memberikan nilai tambah yang baik. Pemeliharaan dan pemuliharaan bahan semulajadi akan dapat dijaga dan seterusnya menyelamatkan alam sekitar dan sistem ekologi daripada terganggu. Justeru itu, keadaan ini memerlukan kepada pengurusan sisa yang lebih efektif yang bukan hanya menumpu kepada aspek pengurusan semata-mata. Dalam hal ini, teknik atau konsep pengurusan sisa yang lebih baik iaitu guna semula kepada bahan yang mempunyai nilai penggunaan yang tersendiri perlu juga diberi perhatian akan penggunaanya.

Terdapat keperluan di kebanyakan negara menggunakan kaedah guna semula sisa yang dihasilkan oleh industri pembinaan sama ada sisa pembinaan atau perobohan. Ini kerana kesan daripada kekurangan tanah dan kos yang meningkat untuk pembuangan sisa secara tanam timbus tanah dan faktor lain seperti bagi tujuan pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan penggunaan agregat daripada sumber semulajadi yang membawa kepada menggunakan kaedah kitar semula bahan sisa ini.

Pelbagai pendekatan telah diperkenalkan bagi mengurus sisa pembinaan, baik dari segi kerja kajian mahupun praktikalnya di tapak bina. Pendekatan yang dimaksudkan ini boleh dikategorikan dalam tiga kategori iaitu pengklasifikasikan sisa, strategi pengurusan sisa (iaitu pencegahan sisa, penggunaan semula sisa dan kitar semula sisa) dan teknologi sisa.

Penggunaan semula bahan buangan bukan sahaja dapat dapat mengurangkan permintaan dan penggunaan bahan-bahan semula tetapi mengurangkan jumlah sisa berbahaya pada alam sekitar ke arah satu langkah pengurusan mampan. Penggunaan bahan buangan ini bukan hanya sebahagian daripada penyelesaian kepada isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan juga masalah sistem ekologi. Akan tetapi melalui pendekatan ini telah memberikan kepelbagaian kelebihan dalam membantu mengurangkan penggunaan guna tebus tanah, menggurangkan penggunaan tenaga dan melindungi alam sekitar daripada kemungkinan berlakunya kesan pencemaran.

Penggunaan semula bahan buangan ini memberi kesan positif terhadap penyelarasan pengurusan sumber yang berkesan dan menyumbang kepada penyelesaian yang mampan untuk masa depan yang lestari. Pengurusan sumber berkesan akan dapat memastikan penggunaan bahan semulajadi dapat dikawal dan digunakan dengan sebaiknya. Pengurusan sumber yang berkesan dapat ditakrifkan kepada tiga faktor iaitu pengawasan, pemuliharaan dan kitar semula. Pengawasan sumber memerlukan suatu pengurusan yang teliti dan bertanggungjawab daripada pihak berautoriti dan pengguna yang menggunakan sumber.

Dalam pada itu, pemuliharaan sumber merupakan perkara yang paling penting bagi memastikan bahan digunakan dengan baik dan bijak melalui penggunaannya. Perlindungan kepada penggunaan sumber yang efektif dan terbaik amatlah perlu dititikberatkan. Manakala kesedaran kepada penggunaan bahan kitar semula sebagai sumber alternatif iaitu sumber-sumber baru perlu diambil kira. Penggunaan semula bahan buangan secara kitar semula akan membantu mengurangkan sumber bahan semulajadi daripada mengalami kepupusan dan gangguan kepada ekosistem alam sekitar. Penggunaan sisa buangan sebagai bahan kitar semula dalam kerja-kerja kejuruteraan akan menghasilkan penggunaan yang positif dalam pengurusan sumber yang berkesan.

Justeru itu, pengurusan mampan melalui penggunaan semula bahan buangan akan memastikan generasi masa depan dapat menikmati kehidupan yang baik adalah perlu dihargai. 

Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam
Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti