PENSYARAH PROGRAM SIJIL TEKNOLOGI SENIBINA DIJEMPUT SEBAGAI PANEL LUAR INTERIM CRIT SESSION DI IKM SUNGAI PETANI

KOLEJ KOMUNITI ARAU
19 May 2025
Akademik, Umum

Sungai Petani, 14 Mei 2025 – Tiga orang pensyarah dari Program Sijil Teknologi Senibina (STS), Kolej Komuniti Arau telah dijemput sebagai panel luar bagi sesi penilaian pertengahan (interim crit session) pelajar-pelajar Program Diploma Senibina Penyeliaan Tapak (DSJ) di Institut Kemahiran MARA (IKM) Sungai Petani, Kedah.

Sesi yang berlangsung melibatkan pembentangan akhir bagi kursus Design 1 hingga Design 5 dan merupakan kursus teras dalam silibus program Diploma Senibina Penyeliaan Tapak. Program ini dilaksanakan mengikut piawaian akademik dan amalan terbaik yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Interim crit session ini dijalankan setiap semester sebagai satu mekanisme penilaian formatif yang membolehkan pelajar menerima maklum balas konstruktif sebelum penilaian akhir dijalankan.

Panel luar jemputan dari Kolej Komuniti Arau terdiri daripada Ts. Nur Syazalina Binti Hanafi, Ts. Hazwani Rifhan Binti Halim dan En. Wan Muhd Zakwan Bin Wan Zin. Mereka telah memberikan ulasan profesional, cadangan penambahbaikan dan galakan kepada pelajar-pelajar DSJ yang membentangkan projek akhir mereka. Antara aspek yang dinilai termasuk kefahaman terhadap konsep reka bentuk, penerapan elemen teknikal dalam pelan bangunan, persembahan visual, serta kebolehan pelajar menyampaikan justifikasi reka bentuk mengikut keperluan tapak dan pengguna.

Sesi ini turut diselaraskan oleh Ketua Program DSJ, Puan Nurul Izza Binti Mohd Noor, yang bertindak sebagai penyelaras utama sesi pembentangan dan penghubung antara panel jemputan dan pensyarah dalaman. Beliau menyatakan bahawa penglibatan panel luar secara berkala memberi nilai tambah yang besar kepada pengalaman pembelajaran pelajar dan memperkukuhkan tahap profesionalisme dalam penyampaian program.

Menurut Ts. Nur Syazalina, pengalaman menjadi panel luar bukan sahaja memberi peluang untuk menyumbang kepakaran kepada institusi lain, malah turut menjadi ruang pembelajaran bersama dalam membandingkan pendekatan pengajaran dan mutu hasil kerja pelajar. “Kolaborasi sebegini amat bermakna, khususnya dalam membina rangkaian profesional dan memperkukuh ekosistem TVET dalam bidang senibina,” katanya.

Sementara itu, pihak IKM Sungai Petani turut menyatakan penghargaan atas komitmen dan sumbangan yang diberikan oleh para panel jemputan dari Kolej Komuniti Arau. Interaksi yang berlaku sepanjang sesi bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah turut mencetus wacana profesional antara pendidik dari dua institusi berbeza.

Penglibatan ini juga mencerminkan peranan aktif pensyarah Kolej Komuniti Arau dalam memperluas jaringan akademik serta menyumbang kepakaran secara lebih meluas di peringkat antara institusi. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk menggalakkan perkongsian sumber manusia, amalan pengajaran terbaik serta peningkatan profesionalisme warga pendidik.

Kolej Komuniti Arau komited untuk terus menyokong penglibatan aktif pensyarah dalam program kerjasama luar sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan TVET dan meningkatkan kecemerlangan pelajar melalui pendedahan yang lebih luas kepada amalan industri dan akademik semasa.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti