
PULAU PINANG, 25 Julai 2026 — Tiga pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih dua pingat emas dan satu pingat gangsa dalam 17th Okinawa Goju-Ryu Penang Open Karate-Do Championship 2026 yang berlangsung pada 25 Julai 2026 di Dewan SJK(C) Chong Kuang, Pulau Pinang.
Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan pelajar PUO untuk menyerlah dalam pelbagai bidang, bukan sahaja dalam akademik dan kemahiran teknikal, malah turut cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kompetitif.
Atlet PUO, Sutharsanan A/L Rama Murthy berjaya meraih pingat emas menerusi kategori Senior Open Kumite – 68 kilogram, manakala Diviya A/P Kaviarasan turut mengungguli kategori Junior 18 Tahun (Perempuan) dengan membawa pulang pingat emas.
Sementara itu, Tharanhi A/L Kaviarasan melengkapkan kejayaan pasukan apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam kategori Junior 18 Tahun (Lelaki).
Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut dan menyifatkan kejayaan para atlet sebagai bukti komitmen PUO dalam membangunkan pelajar yang seimbang dari aspek akademik, kemahiran, sahsiah dan kecemerlangan kokurikulum.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar PUO mempunyai potensi besar untuk menyerlah dalam pelbagai bidang. Kejayaan yang diraih adalah hasil disiplin, kesungguhan dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh para atlet dalam mengharumkan nama institusi,” katanya.
Beliau turut berharap kejayaan berkenaan menjadi inspirasi kepada seluruh warga PUO untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan serta memanfaatkan setiap peluang bagi mengembangkan potensi diri.
Pencapaian atlet PUO ini selari dengan aspirasi institusi dalam melahirkan graduan TVET yang holistik, berdaya saing dan mempunyai nilai tambah melalui penglibatan aktif dalam bidang sukan serta aktiviti pembangunan pelajar. Tahniah dan syabas diucapkan kepada ketiga-tiga atlet PUO atas pencapaian cemerlang yang membanggakan.