PERKASA 2024: Memperkasa sahsiah pelajar

KOLEJ KOMUNITI SABAK BERNAM
12 September 2024
Umum

SABAK BERNAM, 9 September 2024 – Bertemakan “Satu pencegahan, sejuta manfaat”, Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar (PERKASA) Tahun 2024 telah dilaksanakan dengan mendapat sambutan 150 Pelajar Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Selangor.

Lebih membanggakan apabila program ini turut mendapat perhatian dan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam.

Antara pengisian program termasuklah perkongsian Bicara Kesihatan Remaja berkenaan Talasemia oleh Pegawai Perubatan Unit HIV/STI/HEP C & Unit Pasukan Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam Dr. Ahmad Haziq Rodzali.

Dalam sesi tersebut, para pelajar turut didedahkan mengenai HIV, Penyakit Jangkitan Kelamin (STD) dan Stigma oleh Dr. Norshahidah Malek.

Pegawai Psikologi KKSB, Maimunah Mhd Salleh berkata, kesedaran berkaitan kesihatan adalah penting dan perlu diambil tahu oleh para pelajar.

“Semoga dengan inisiatif penganjuran Program PERKASA 2024 ini, dapat membantu pelajar tekal dan fokus kepada matlamat hidup yang positif di samping mengekalkan keperibadian yang unggul sebagai pelajar TVET yang cemerlang secara holistik,” katanya.

Turut berlangsung, forum remaja bagi mengupas isu ‘Cinta VS Cita’ yang dikongsikan oleh seorang bekas pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan bersama Maimunah sebagai moderator.

Sementara itu Pengarah KKSB Ahmad Arman berharap dengan adanya program sebegini, pelajar dapat memahami jenis dan kategori tingkah laku berisiko yang perlu dicegah selain meningkatkan kemahiran kawalan diri yang tinggi. Program ini juga dapat memberi bimbingan dan intervensi susulan dalam aspek hubungan interpersonal dan intrapersonal.

“Pelbagai usaha dilakukan di negara kita bagi membentuk jati diri pelajar yang murni akhlak dan cemerlang akademik bukan sahaja melalui sokongan di institusi malah perluasan pendedahan daripada agensi kerajaan tempatan yang lain juga memainkan peranan yang besar dalam memberi pengetahuan umum kepada mereka seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan.”

Terdahulu, Yayasan Raja Muda Selangor turut menjalankan Program Self-Discovery Workshop di KKSB dengan melibatkan beberapa buah sekolah menengah sekitar daerah Sabak Bernam.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada generasi pelajar yang berwawasan dan berpengetahuan selain membentuk pelajar TVET yang cemerlang secara holistik khususnya.

Program ini merupakan anjuran Unit Psikologi dan Kerjaya KKSB bersama Unit Pembangunan Pelajar dan Kelab Pembimbing Rakan Inspirasi Siswa Siswi (PRISS).

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti