Persembahan pelajar OKU undang sebak lebih 1000 penonton

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
07 August 2024
BERITA, Umum

Shah Alam, 2 Ogos 2024 – Persembahan sekumpulan pelajar orang kelainan upaya (OKU) menyampaikan lagu Pulang dendangan kumpulan Insomniacks menggunakan bahasa isyarat undang sebak lebih seribu penonton.

Suasana dewan turut gamat dengan nyanyian penonton sambal diiringi lambaian lampu pada telefon bimbit masing-masing bagi memberi sokongan terhadap pelajar-pelajar berkenaan.

“Saya tak expect pun akan ada persembahan daripada pelajar OKU. Rasa teruja dan bangga sangat sampai saya menangis sepanjang persembahan mereka,” ujar Exco Kebudayaan dan Warisan Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Felicia Goh Sui Ching.

Beliau yang juga merupakan fasilitator Minggu Haluan Siswa Sesi 1: 2024/2025 menjelaskan terdapat fasilitator yang boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat dan para pelajar tersebut juga memberi kerjasama yang sangat baik dan sentiasa tersenyum.

Sha Daniel Airiel Norafendi yang gembira terpilih menyambung pengajian dalam program Sijil Khas Penyenggaraan Mekanikal (KMK) berkata, peluang kepada pelajar OKU ada di politeknik.

“Saya ingin mendapat kemahiran dalam bidang mekanikal kerana peluang pekerjaan yang luas di samping yurannya yang rendah.”

Sementara itu pengarah PSA Zainah Rujihan berkata, PSA sentiasa berusaha untuk memberi akses pendidikan berkualiti di samping keutamaan terhadap kebajikan pelajar khususnya mereka yang memerlukan bantuan khas.

Tambah beliau lagi, seramai 1,057 pelajar baharu mendaftar pada sesi kali ini dengan 11 daripadanya mengikuti program KMK.

KMK ditawarkan kepada pelajar tamat tingkatan lima yang mempunyai masalah pendengaran dengan tujuan melahirkan pelajar berpengetahuan dalam pelbagai bidang penyenggaraan mekanikal bagi memenuhi keperluan pasaran kerja di industri.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti