
Jendela MADANI
Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah dipenuhi suasana penuh rasa syukur, bangga dan terharu apabila warga politeknik meraikan Majlis Lambaian Kasih sempena pesaraan Pengarahnya, Rosli Idris, secara rasmi pada 8 Ogos 2025.
Beliau telah menabur bakti selama 36 tahun 7 hari dalam perkhidmatan awam.
Majlis yang berlangsung pada 7 Ogos 2025 itu dihadiri oleh semua warga POLIMAS, pelajar, wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, serta para jemputan dari POLYCC, mencerminkan rasa hormat yang tinggi terhadap jasa beliau.
Pada sebelah petangnya pula beliau turut diraikan oleh Pengarah POLYCC Kedah/Perlis dalam Majlis Hi-Tea Perpisahan.
SEBAGAI SEORANG PEMIMPIN
Sepanjang memimpin POLIMAS, Rosli dikenali sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, berdisiplin, dan berjiwa pendidik.
Dibawah kepimpinannya, POLIMAS berjaya mencapai pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa, terutamanya dalam bidang inovasi, teknologi dan TVET.
Antara pencapaian bersejarah yang berlaku di era kepimpinannya antaranya termasuk pingat emas dan anugerah Best of The Best di MJIC 2025; pingat emas dan projek terbaik di IDEANOVA 2025; dua pingat emas di IPITEx 2025 di Bangkok dan gelaran Androsot Master dan dua pingat emas di FIRA Malaysia Cup 2025.
KERANA DIBERI KEKUATAN
Dalam ucapan perpisahannya, Rosli memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana diberi kekuatan dan kesihatan sehinggake hari persaraan.
“Esok saya akan mula bersara setelah mengharungi perjalanan sebagai penjawat awam dan mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada saya sepanjang perkhidmatan saya di POLIMAS,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kata-kata Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, yang menyifatkan persaraan ini sebagai satu kehilangan besar kepada institusi.
“Kami amat memghargai jasa beliau dan mendoakan agar beliau terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan, dan ketenangan dalam fasa kehidupan seterusnya,” kata beliau. – JM