13 September 2023, Kota Bharu : Telah berlangsung Majlis Ramah Mesra Pengurusan Tertinggi Politeknik Kota Bharu Bersama Rakan Media Negeri Kelantan di Kota Bharu. Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Zainab binti Othman, Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Turut hadir bersama adalah YBrs. Gs. Sr Hj Mohd Fikri Ismail, Pengarah Politeknik Kota Bharu, YBrs. Ir. Haji Mohd Zaidi Bin Che Mod, Timbalan Pengarah Akademik, YBrs. Haji Rosli bin Idris, Mantan Pengarah Politeknik Kota Bharu, Pengarah – Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Kelantan dan Terengganu, Ketua – Ketua Jabatan dan pegawai – pegawai kanan PKB.
Majlis yang dianjurkan oleh Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat ini diadakan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan jalinan kerjasama Politeknik Kota Bharu bersama ketua – ketua pengarang dan rakan – rakan media yang sentiasa memberi sokongan melalui hebahan liputan berita aktiviti PKB. Antara media yang hadir Utusan Malaysia, Sinar Harian, Astro Awani, Harakah serta Imedikel TV.
Ts. Zainab binti Othman, Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK berkata apa yang paling penting dan paling asas adalah untuk terus membina, memelihara dan memupuk jalinan kerjasama yang baik antara politeknik dan kolej komuniti (PolyCC) dengan media massa. Beliau percaya, melalui symbiotic relationship di antara PolyCC dan media massa akan dapat membantu melahirkan pasukan komunikasi dalam kalangan institusi TVET yang lebih cekap dalam mengendalikan maklumat. Dengan hubungan baik yang terjalin, PolyCC dapat memberi penjelasan yang betul dan tepat melalui media massa agar rakyat dapat memahami apa jua dengan jelas isu-isu semasa serta kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh PolyCC.
Menurut YBrs. Gs. Sr Hj Mohd Fikri Ismail, Pengarah PKB pula dengan kehadiran barisan media berserta bantuan dan sokongan yang diberikan, beliau yakin ia mampu menaikkan nama Politeknik Kota Bharu sebagai Institusi TVET terunggul di Negeri Kelantan. Tanpa media, amat sukar untuk PKB melangkah lebih jauh kerana pengaruh media sangat besar kepada masyarakat Kelantan dan rakyat Malaysia amnya.