Jendelamadani.net, 23 Oktober 2024
Pengarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,(POLIMAS), Jitra, Rosli Idris menyalurkan sumbangan khas kepada 24 pelajarnya yang terjejas akibat bencana banjir di Kedah pada Oktober 2024 baru-baru ini.
Sumbangan sebanyak RM300 setiap seorang itu disampaikan oleh beliau sendiri pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Perihatin POLIMAS Kepada Pelajar Mangsa Banjir di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, POLIMAS.
Rosli berharap semoga dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban para pelajar yang terkesan akibat banjir.
“Anggaplah musibah ini sebagai ujian dari Allah untuk menguji kesabaran kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis berakhir.
Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik, Dr Mhd Azmin Mat Seman dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik , Hamizi Yahya.
SUDAH DUA KALI
Sementara itu, antara pelajar yang ditemui, Chee Xiao Ying, pelajar Diploma Elektrik Perhubungan dari Kampung Sungai Baru, Jitra, memberitahu rumahnya sudah dua kali dilanda banjir sehingga
terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).
“Sekalipun saya berasa sedih dan penat atas bencana yang berlaku namun bersyukur kerana dengan bantuan sumbangan yang diberikan oleh pihak POLIMAS dapat meringankan beban,” katanya.
S. Alvin Dave, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik berkata, dia amat menghargai sumbangan ini dan sangat berbangga kerana POLIMAS sentiasa menjaga kebajikan para pelajarnya.
“Saya harap sumbangan ini dapat digunakan bagi menampung perbelanjaan bagi membeli peralatan rumah yang banyak rosak,” ujarnya.
KE DALAM RUMAHNYA
Katanya, kali ini air masuk ke dalam rumahnya di Taman Derga Jaya, Alor Setar, sampai ke paras lutut.
“Sudah empat kali rumah saya dimasuki air dan saya berasa amat sedih kerana banyak barang-barang di dalam rumah rosak,” kata Muhammad Faeez Izwan Mohd Azhar, Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Kampung Kepala Batas , Alor Setar.
Katanya, dia dan keluarga tidak sempat mengangkat peralatan di dalam rumah memandangkan kali ini air sungai yang melimpah masuk ke rumah dengan begitu pantas.
INI AMAT DIHARGAI
“Sumbangan yang diberikan oleh POLIMAS ini amatlah dihargai kerana memahami keperluan kami sekeluarga yang terpaksa menanggung kerugian apabila banyak peralatan rumah yang rosak,” katanya.
B. Chakaravarty Kaunda, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik sangat menghargai sumbangan POLIMAS yang disifatkan sangat mulia bagi membantu mereka yang kesusahan akibat dilanda banjir.
Jelasnya, sumbangan POLIMAS ini menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar khususnya yang terlibat dalam banjir baru-baru ini. – JM