POLIMAS laksana tanggungjawab sosial melalui program Ambang Ramadan

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
05 March 2025
SUARA TV

Suara.TV

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Seramai 23 pelajar Diploma Pemasaran (DPR1B) semester satu Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah melaksanakan tanggungjawab sosial melalui Program Ambang Ramadan 1446H/2025 di Kariah Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, dekat sini baru-baru.

Kesemua mereka sedang mengikuti kursus Penghayatan Etika dan Peradaban di bawah Jabatan Pengajian Am POLIMAS.

Penasihat program, Mohd Nazimi Zaim Ismail menzahirkan rasa bangga terhadap usaha pelajar yang telah menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan program ini bersama masyarakat setempat.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Am POLIMAS berkata sebagai pelajar baharu, mereka telah menunjukkan tahap kepimpinan dan tanggungjawab yang tinggi.

“Program seperti ini memberi pendedahan awal kepada mereka tentang kepentingan menyumbang kepada masyarakat dan bagaimana nilai etika dapat diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Mereka telah membuktikan keupayaan dalam menggalas tanggungjawab, mengaplikasikan nilai etika, kepimpinan, komunikasi serta kerja berpasukan, ”katanya.

Imam Masjid Al-Ummah, Mohd Nazimi Zain Ismail berkata program ini turut mendapat sambutan hangat daripada penduduk kariah yang memberikan maklum balas positif terhadap usaha pelajar POLIMAS dalam membantu, berinteraksi, dan memahami peranan mereka sebagai individu yang bertanggungjawab dalam komuniti.

“Jalinan erat yang terbentuk melalui program ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sahaja berfokus kepada akademik, tetapi juga membentuk nilai kesukarelawanan dan pembangunan sosial dalam kalangan pelajar, ”katanya.

Salah seorang peserta, Nurul Husna Ahmad Rizan, menyifatkan pengalamannya menyertai program ini telah membuka mindanya tentang peranan pelajar POLIMAS dalam komuniti.

“Kami bukan sekadar hadir untuk menimba ilmu di dalam kelas, tetapi juga perlu menyumbang kepada masyarakat.

“Program ini sangat bermakna kerana kami dapat merasai sendiri suasana gotong-royong dan berinteraksi dengan penduduk setempat,”katanya.

Warga kariah Masjid Al-Ummah, Wan Nordin Wan Daud, meluahkan rasa gembira dengan kehadiran para pelajar yang menunjukkan sikap mesra dan bersemangat dalam menjayakan program ini.

“Alhamdulillah, kehadiran anak-anak muda ini membawa kemeriahan dan semangat baharu kepada kariah kami.

“Mereka bukan sahaja membantu menjayakan aktiviti, malah menunjukkan nilai budi bahasa yang tinggi dan semoga hubungan baik antara masjid dan institusi pendidikan seperti POLIMAS ini dapat diteruskan,”katanya.

Pegawai Perhubungan Awam POLIMAS, Shahril Annuar Ahmad berkata program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan dan memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat pada masa hadapan.

Menurut beliau, pihak masjid turut mendapat kerjasama dari institusi di bawah Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC), iaitu Kolej Komuniti Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis yang bertindak sebagai panel juri pertandingan memasak bubur janji.

“Kehadiran mereka bukan sahaja menambah elemen profesional dalam penjurian tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat setempat, ”tambahnya. – SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti