10 Julai 2024, Jitra – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Kedah telah muncul sebagai naib juara Malaysian Polytechnic Territorial Amy Annual Camp (MALPTAAC) siri 15/2024.
Majlis Perasmian Penutup MALPTAAC siri 15/2024 telah diadakan di Ladang Kenaf, Kangar, Perlis baru-baru ini. Program ini turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah.
Mejar (K) Md. Nasir Md. Saffar turut menerima cenderahati pengiktirafan dari Pengarah Bahagian Kurikulum, Dr. Zamzam Mohd Walid dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Harumanis , Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.
Menurut Md. Nasir pengiktirafan ini membuktikan pelajar POLIMAS mampu berjaya dalam semua pertandingan sekiranya ada tekad dan usaha dan sentiasa berdisiplin untuk mencapai kejayaan terbaik.
“Walaupun mata yang dikumpulkan oleh POLIMAS dan Politeknik Ungku Umar (PUO) adalah sama tetapi PUO mendapat kelebihan kerana telah memenangi acara utama iaitu ujian jalan laju. Insyaallah pasukan dari POLIMAS berazam untuk merampas kembali piala kejuaraan untuk pertandingan sesi akan datang,” kata Md. Nasir.
MALPTAAC siri 15/2024 yang diadakan ini melibatkan latihan bersama kereta perisai, senjata bantuan dan pasukan artileri. Program ini memberi pendedahan betapa sukarnya mengendalikan aset seperti kereta perisai dan strategi dalam mengatur dan melaksanakan serangan. Pelatih juga menjalani pelbagai aktiviti seperti ujian jalan laju, merentas desa dan latihan dimedan tempur. Pelatih juga dilatih membina kemahiran insani mereka seperti kepimpinan, ketepatan waktu dan membuat keputusan bijak dalam keadaan terdesak.
Terdahulu MALPTAAC siri 15/2024 ini telah berlangsung pada 26 Jun sehingga 10 Julai 2024 yang melibatkan penyertaan 16 buah politeknik dengan kekuatan seramai 29 orang pegawai dan 609 orang anggota yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar. Antara agensi luar yang turut mengambil bahagian adalah Rejimen 504 Askar Wataniah dan Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat, Kementerian Pertahanan.
Turut hadir YAB Brigedier Jeneral (K) Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis merangkap Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Perlis, Mejar Jeneral Datuk Rahman A Wahab, Asisten Panglima Pasukan Simpanan, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kolonel (K) Tan Sri Dato’ Seri Dato’ Paduka Prof. Dr. Fng Ah Seng, Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah, YDH. DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim, Ketua Polis Negeri Perlis, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj Hashim, Panglima 30 BGD, Leftenan Kolonel (K) Dato’ Yaacob Md Saad, Penasihat Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng, YBrs. Haji Abdul Malek Hassan, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin serta pegawai-pegawai politeknik dan kolej komuniti yang lain.
Mejar (K) Md Nasir Md Saffar menerima cenderahati pengiktirafan dari Pengarah Bahagian Kurikulum Dr. Zamzam Mohd Walid pada majlis perasmian penutup MALPTAAC
Pasukan POLIMAS bergambar kenangan bersama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti , Dr. Mohd Zahari Ismail. Turut serta Pengarah POLIMAS , Rosli Idris dan Pengarah Bahagian Kurikulum Dr. Zamzam Mohd Walid