Suara.TV, 23 November 2024
KUALA TERENGGANU – Tiga pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam (POLIMAS), Muhammad Afifi Mohd Nor Hisham, Putra Ammar Mohd Ridzuan dan Ahmad Faiz Helmy Ahmad Sakri melakar nama apabila merangkul naib juara dalam Pertandingan Data Hackathon POLYCC 2024 di Politeknik Kuala Terengganu (PKT) dekat sini, baru-baru ini.
Ketiga-tiga mereka yang berbakat itu adalah pelajar dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat di bawah bimbingan pensyarah POLIMAS, Siti Nur Thazliah Mohd Thazali.
Muhammad Afifi berkata, dapat berkongsi pengalaman dan mempelajari teknik analisis data yang lebih mendalam.
“Selain itu, dapat menimba ilmu berharga bekerja dalam satu pasukan, insya-Allah kami akan berusaha dan mencuba lagi menjadi juara pada tahun hadapan, ”katanya.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ianya menunjukkan betapa pentingnya pembelajaran dalam bidang sains data dan pembelajaran mesin.
“Pertandingan seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk menambah ilmu serta mempraktikkan apa yang dipelajari dalam suasana yang lebih mencabar dan kompetitif, ”kata pensyarah pembimbing pasukan ini, Siti Nur Thazliah.
Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Hj. Rosli Idris, merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pelajar terlibat telah mengharumkan nama POLIMAS.
Rosli berkata, kepentingan mempelajari bidang teknologi terkini, terutamanya sains data, data besar, dan pembelajaran mesin yang kini menjadi antara kemahiran utama yang dicari oleh industri.
“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan para pelajar untuk lebih kreatif dan inovatif, malah membantu pelajar untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan yang semakin memerlukan kepakaran dalam pengurusan dan analisis data, ”katanya.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam POLIMAS, Shahril Annuar Ahmad,pertandingan ini disertai oleh 87 pasukan dari politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) di Malaysia merupakan satu platform meneroka dan mengukuhkan kemahiran data analitik dan data besar.
Menurutnya, pertandingan ini anjuran PKT dengan kerjasama Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan melahirkan para pelajar yang mempunyai pemikiran inovasi, kreatif dan berdaya saing dalam menyelesaikan pelbagai masalah.
Program ini turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada rakan kolaborasi PKT iaitu Applied Industrial Analytics Research Group, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Terengganu Digital 1303 (TD1303).
Selain itu, memberi mereka peluang untuk mengasah kemahiran praktikal dalam bidang teknologi yang semakin berkembang pesat.
Menurutnya lagi , pertandingan ini memberikan cabaran kepada peserta untuk menggunakan pelbagai teknik analisis data dan pembelajaran mesin dalam menyelesaikan masalah dunia nyata.
“Peserta juga diminta untuk membina model ramalan atau penyelesaian terbaik dengan menggunakan data besar yang disediakan.
“Selain cabaran teknikal, pertandingan ini juga memberi peluang kepada peserta untuk berkolaborasi dalam pasukan, serta berinteraksi dengan rakan-rakan dari pelbagai POLYCC seluruh Malaysia.
“Ini adalah satu peluang berharga untuk memperluas jaringan profesional serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan peserta lain, ”katanya.
DataSmith dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah yang dianggotai oleh Wan Nur Liyana, Nur Zakierah dan Batrisya di bawah bimbingan Ida Safinar Aziz diumum juara dalam Data Hackathon POLYCC 2024 sekali gus memenangi hadiah bernilai RM1,000.
Pasukan dari POLIMAS sebagai naib juara telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 manakala tempat ketiga menjadi milik PKT yang membawa pulang RM300.
Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Pengarah BPPI JPPKK, A. Azman Arshad.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JPPKK, KPT, Muhamad Rumzi Mamat dan Pengarah PKT, Ts Nadzri Che Kamis. – SUARA.TV