POLIMAS prihatin, beri sokongan emosi & bantu 24 pelajar terjejas banjir

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
BERITA, SUARA TV

suara.tv, 25 Oktober 2024

JITRA – Mengambil kira keperluan 24 pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) yang terjejas teruk akibat bencana banjir melanda beberapa daerah di Kedah, pengarahnya Rosli Idris telah menyalurkan sumbangan bantuan khas RM300 kepada setiap mangsa terlibat.

Sumbangan itu disampaikan pada majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Prihatin POLIMAS kepada mangsa banjir, di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, POLIMAS dekat sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS , Hamizi Yahya.

Rosli berkata, pihaknya amat prihatin terhadap nasib mereka yang diuji dengan musibah banjir ini, kebanyakan terdiri dalam kalangan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Setiap pelajar yang terjejas akan menerima bantuan ini, mudah -mudahan bantuan secara kewangan ini dapat memudahkan mangsa menguruskan perbelanjaan mengikut keperluan masing-masing.

“Anggaplah musibah ini adalah ujian dari Allah SWT yang datang adalah untuk menguji sejauh mana kesabaran kita.

“Allah SWT tidak akan membiarkan kita dalam kesusahan kerana hakikatnya kasih Allah SWT kepada hamba-Nya melebihi segala-galanya, ”katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam POLIMAS, Shahril Annuar Ahmad memaklumkan, POLIMAS turut memberikan sokongan emosi kepada pelajar mangsa bencana banjir.

“Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka,”katanya.

Bagi pelajar Diploma Elektrik Perhubungan , Chee Xiao Ying yang tinggal di Kampung Sungai Baru, di sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Rumah saya sudah dua kali dilanda banjir dan berasa sedih di atas bencana yang berlaku ini.

“Saya begitu terharu mendapat sumbangan yang diberikan ini, ianya dapat meringankan beban perbelanjaan keperluan harian,”kata Xiao Ying.

Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Alvin Dave a/l Selvarajoo
berkata, bantuan yang diterimanya ini akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi susulan banjir yang berlaku.

“Rumahnya di Taman Derga Jaya, Alor Setar dinaiki air sampai ke paras lutut mengakibatkan banyak yang rosak termasuk perabot.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengarah POLIMAS atas bantuan yang diberikan ini,” katanya.

Muhammad Faeez Izwan Mohd Azhar, Pelajar, Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Kampung Kepala Batas , Alor Setar berkata, rumahnya dilanda banjir sebanyak empat kali.

“Saya berasa amat sedih kerana terdapat banyak kerosakan harta benda. Air sungai naik mendadak terlalu laju, lantas saya membantu keluarga mengangkat barang, ”kata Muhammad Faeez Izwan.

“Bersyukur dan terharu menerima bantuan oleh POLIMAS ini sedikit sebanyak akan meringankan perbelanjaan keluarganya ,”katanya lagi.

Manakala, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Chakaravarty Kaunda a/l Bazlan, berkata, banyak barang yang rosak di rumahnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada POLIMAS dan amat bersyukur atas bantuan yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit bebanan keluaraga saya, ”katanya. – SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti