POLIMAS rangkul pingat emas, Anugerah Best Of The Best MJIC 2025

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
04 March 2025
Penyelidikan dan Inovasi

JENDELA MADANI

Oleh: Sholina Osman

Foto Ihsan POLIMAS

27 FEB.2025

Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah telah berjaya merangkul pingat emas dan Anugerah Best Of The Best dalam Pertandingan Inovasi di Persidangan Antarabangsa Malaysia-Jepun ke-6 mengenai Nanosains, Nanoteknologi dan Kejuruteraan Nano 2025 (MJIC 2025) yang berlangsung di Double Tree by Hilton Melaka baru-baru ini.

Pasukan POLIMAS terdiri dari pelajar berbakat, Aiman ‘Aqil La’anain, Naufal Saiful Khohar dan Muhammad Amir Danish Mohd Jamal berjaya menarik perhatian juri dengan projek inovatif mereka bertajuk Trasforming Sales Management: A Web-Based System for Data Collection and Real-Time Analytics.

Kenyataan media POLIMAS memaklumkan, projek ini membangunkan sistem pengurusan jualan berasaskan web yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dalam industri hartanah.

Dengan ciri-cici analisis data masa nyata, paparan perstasi automatik, serta kemudahan kolaborasi bagi ejen dan pengurus, sistem ini menawarkan penyelesaian digital yang inovatif bagi sektor tersebut.

MERUPAKAN SATU PENGHARGAAN

Ketua Kumpulan Projek, Aiman ‘Aqil La’anain berkata, kemenangan ini merupakan satu penghargaan yang bermakna bagi kumpulannya dan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk membawa idea ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya tidak menyangka projek kami ini akan memenangi Anugerah Best Of The Best bagi projek terbaik dalam pertandingan ini,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada penyelia yang telah bertungkus lumus membantu kumpulan ini dari segi khidmat nasihat sehingga projek mereka berjaya disiapkan.

Penyelia Projek, Ts Afzanizam Alias berkata, kemenangan ini menjadi bukti pelajar POLIMAS mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pelajar dari universiti lain dari dalam dan luar negara.

HASIL DARI DEDIKASI

Jelasnya, kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil daripada dedikasi, kreativiti dan kerjasama yang luar biasa secara berpasukan.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada POLIMAS kerana pelajar politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar.

“Ia bukan sekadar kemenangan, tetapi bukti bahawa generasi muda kita mampu mencipta perubahan dengan mengaplikasikan teknologi secara kreatif,” katanya.

USAHA GIGIH PENSYARAH

Beliau menghargai usaha gigih pensyarah POLIMAS yang membimbing pelajar hingga mampu beroleh kemenangan pingat emas dan juga mendapat Anugerah Best Of The Best dengan secara tidak langsung meningkat imej POLIMAS.

MJIC 2025, yang dianjurkan bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dengan kerjasama beberapa institusi pendidikan tinggi dari Jepun seperti Institusi Teknologi Nagoya (NITech), Kolej Institusi Teknologi Kebangsaan Kagawa (NITKC) dan Institusi Teknologi Kebangsaan Kolej Tokuyama (NITTC) ini menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat dan inovasi terkini dalam bidang nanosains dan nanoteknologi.

Dengan pencapaian gemilang ini, diharapkan lebih ramai pelajar akan terinspirasi untuk meneroka bidang inovasi dan teknologi, sekaligus membantu negara mencapai kecemerlangan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.-JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti