POLIMAS RANGKUL PINGAT EMAS DAN ANUGERAH BEST OF THE BEST MJIC 2025

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
03 March 2025
Akademik, Aktiviti Pelajar, BERITA, Penyelidikan dan Inovasi, Umum

Jitra – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah telah berjaya merangkul pingat emas dan Anugerah Best Of The Best dalam Pertandingan Inovasi di Persidangan Antarabangsa Malaysia-Jepun ke-6 mengenai Nanosains, Nanoteknologi dan Kejuruteraan Nano 2025 (MJIC 2025) yang berlangsung di DoubleTree by Hilton Melaka  baru-baru ini.

Pasukan POLIMAS terdiri dari pelajar berbakat, Aiman ‘Aqil La’anain, Naufal Saiful Khohar dan Muhammad Amir Danish Mohd Jamal berjaya menarik perhatian juri dengan projek inovatif mereka bertajuk Transforming Sales Management: A Web-Based System for Data Collection and Real-Time Analytics. Projek ini membangunkan sistem pengurusan jualan berasaskan web yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dalam industri hartanah. Bercirikan analisis data masa nyata, paparan prestasi automatik, serta kemudahan kolaborasi bagi ejen dan pengurus, sistem ini menawarkan penyelesaian digital yang inovatif bagi sektor tersebut.

Aiman ‘Aqil La’anain, Ketua Kumpulan Projek ini berkata, “Kemenangan ini merupakan satu penghargaan yang bermakna bagi kumpulan kami dan menjadikan kami lebih bersemangat untuk membawa idea ini ke peringkat yang lebih tinggi. Saya tidak menyangka projek kami ini akan memenangi Anugerah Best Of The Best bagi projek terbaik dalam pertandingan ini. Terima kasih kepada penyelia kami yang telah bertungkus lumus membantu kami dari segi khidmat nasihat sehingga projek kami berjaya disiapkan”.

Menurut Penyelia Projek, Ts Afzanizam  Alias, “Kemenangan ini menjadi bukti pelajar  POLIMAS mempunyai keupayaan dan kepakaran  untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pelajar  dari universiti lain dari  dalam dan luar negara dan kejayaan yang kita capai hari ini adalah hasil daripada dedikasi, kreativiti, dan kerjasama yang luar biasa secara berpasukan”.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS,  Rosli  Idris berkata, “Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada POLIMAS kerana pelajar  politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar dan ini menunjukkan bahawa tiada had bagi apa yang kita boleh capai apabila kita bekerjasama dengan tekad dan idea yang segar”.

Menurutnya lagi, “Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan, tetapi bukti bahawa generasi muda kita mampu mencipta perubahan dengan mengaplikasikan teknologi secara kreatif. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah POLIMAS yang membimbing pelajar hingga mampu  beroleh kemenangan pingat emas dan juga mendapat Anugerah Best Of The Best dengan secara tak langsung meningkat imej POLIMAS”.

MJIC 2025, yang dianjurkan bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dengan kerjasama beberapa institusi pendidikan tinggi dari Jepun seperti Institut Teknologi Nagoya (NITech), Kolej Institut Teknologi Kebangsaan Kagawa (NITKC), dan Institut Teknologi Kebangsaan Kolej Tokuyama (NITTC) menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat dan inovasi terkini dalam bidang nanosains dan nanoteknologi. Pencapaian gemilang ini, diharapkan lebih ramai pelajar akan terinspirasi untuk meneroka bidang inovasi dan teknologi, sekaligus membantu negara mencapai kecemerlangan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti