
JENDELA MADANI



Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) terus memain peranan sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menerima kunjungan lawatan sambil belajar daripada Sekolah Salihiyah, Pattani, Thailand.
Ia melibatkan penyertaan seramai 21 pelajar bersama 5 orang guru.
Delegasi berkenaan disambut oleh pihak pengurusan POLIMAS sebelum diberikan taklimat ringkas oleh Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Mhd Azmin Mat Seman.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah terhadap sistem politeknik amat penting bagi memupuk minat terhadap bidang teknikal dan vokasional.
SENTIASA MEMBUKA PINTU
“POLIMAS sentiasa membuka pintu kepada mana-mana institusi pendidikan, sama ada dari dalam atau luar negara, yang ingin menjalin hubungan akademik,” kata beliau.
Beliau berkata pihaknya percaya perkongsian ilmu dan pendedahan seperti ini akan memberi manfaat kepada pelajar, terutama dalam memupuk minat mereka terhadap bidang TVET yang kini menjadi keperluan global.
Pengetua Sekolah Salihiyah, Dr. Abdullah Yeelah berkata tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai sistem pembelajaran di POLIMAS, selain melihat dengan lebih dekat kemudahan, kelengkapan dan teknologi moden yang digunakan dalam pengajaran.
“Lawatan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja memperluas pengetahuan pelajar, malah memberi
inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
DIBAWA MENINJAU BENGKEL
Sepanjang lawatan, rombongan dibawa meninjau bengkel, makmal, bilik kuliah serta menyaksikan demonstrasi robotik dan pelbagai aplikasi teknologi lain.
Seorang pelajar, Sofia Daramae, melahirkan rasa teruja selepas menyaksikan demonstrasi robotik.
“Saya sangat kagum melihat teknologi yang digunakan di POLIMAS sekaligus membuat bersemangat untuk belajar dan berkemungkinan suatu hari nanti saya juga boleh menghasilkan rekaan seperti itu,” ujarnya.
PENGALAMAN MELAWAT BENGKEL
Bagi Nurhanan Lodeng pula, pengalaman melawat bengkel dan makmal memberi inspirasi yang mendalam.
“Kemudahan di sini sangat lengkap dan moden di mana dengan lawatan ink telah membuka mata tentang kepentingan kemahiran praktikal selain teori,” katanya.
Lawatan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar Sekolah Salihiyah, malah membuka ruang untuk memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam bidang TVET yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa. – JM