Politeknik Ibrahim Sultan jalin kerjasama dengan Majlis Pelayang Malaysia bagi penganjuran FLLSPG24

POLITEKNIK IBRAHIM SULTAN
28 January 2024
Aktiviti Pelajar

10 Januari 2024, Pasir Gudang – Majlis Tandatangan CoC, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) bersama Majlis Pelayang Malaysia telah dimeterai oleh Haji Ulaimi Yahya, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan dan Dato Haji A Rahim Haji Nin, Presiden, Majlis Pelayang Malaysia merangkap Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor di Politeknik Ibrahim Sultan untuk kolaborasi penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali ke-26 yang akan berlangsung pada 24 Februari hingga 3 Mac 2024 di Bukit Layang-Layang, Taman Bandar Pasir Gudang.

Menurut Pengarah PIS, Ulaimi Yahya, majlis CoC ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023 – 2030 yang telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri pada 4 Disember 2023 yang lepas.  “Pada tahun 2024 ini, kita akan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang memberi satu konsep wow factor bukan sahaja kepada pihak institusi tetapi juga kepada pihak-pihak yang berkolaborasi dengan PIS. Keberkaitan program dan penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali ke-26 amat selari dengan aktiviti-aktiviti TVET negara dan keterlibatan yang maksimum bagi staf dan pelajar PIS. 

Dato Haji A Rahim Haji Nin, Presiden, Majlis Pelayang Malaysia telah mengumumkan dana permulaan RM130,000 kepada PIS sebagai rakan kolabarosi penganjuran festival ini. Beliau berkata “kita ini senada iaitu setelah 25 tahun PIS dan 25 kali festival ini dianjurkan, kali ke-26 kita menandatangani sijil kerjasama untuk memulakan satu transformasi baru yang begitu bersejarah iaitu selepas 25 tahun kita bergerak masing-masing dalam kerterlibatan festival layang-layang yang diadakan setiap tahun di Pasir Gudang”. 

Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali ke-26 dengan tema Budaya Dinamik menyasarkan 500 ribu pengunjung dari dalam dan luar negara yang akan hadir. Penglibatan PIS sebagai rakan kolaborasi di festival ini adalah rekaan logo rasmi FLLSPG24, pegawai pengiring dan tugas pendaftaran, taklimat dan sambutan peserta antarabangsa, Arena Technical Team (Pembantu Padang), Zon Promosi Pendidikan, pelancaran Sports Kite sebagai sukan baharu IPT, Hari Layang-Layang Komuniti Pasir Gudang, International Creative Kite Forum, Ceria Keluarga dan beberapa lagi aktiviti.

Turut hadir pada majlis ini ialah Haji Hasrin Kamal Hashim, Timbalan Presiden Majlis Pelayang Malaysia merangkap Timbalan YDP Persatuan Pelayang Johor, Pengarah- Pengarah FLLSPG24, pengurusan tertinggi PIS, Pengurus COT-CDEC PIS, Ketua Unit CISEC PIS, dan jawatankuasa yang terlibat dalam program berimpak tinggi ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti